Pelakon yang juga anak lelaki tunggal seniwati Azean Irdawaty, Benjy boleh menarik nafas lega apabila Mahkamah Majistret di  sini semalam melepas dan membebaskan satu daripada tiga pertuduhan dadah  yang dihadapinya. Manakala bagi dua pertuduhan berikut, Majistret Hafizza Sauni  memutuskan supaya ia dibicarakan serentak mulai hari ini dengan sembilan  saksi dipanggil memberi keterangan.
Benjy atau nama sebenarnya Khaeryll Benjamin Ibrahim, 32, yang  berdiri di dalam kandang tertuduh kelihatan gembira dengan keputusan itu  sambil kerap tersenyum ke arah Azean, bapa dan dua adiknya yang duduk  di galeri awam. Terdahulu, Hafizza memutuskan Benjy dilepas dan bebas setelah  Timbalan Pendakwa Raya, Nurmardiana Mamat memaklumkan telah mendapat  arahan untuk menarik balik pertuduhan tersebut.
Ia berikutan notis bantahan yang diserahkan peguam Benjy, Amer Hamzah  Arshad kepada pihak pendakwaan 15 Ogos lalu bagi menarik balik  pertuduhan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu  Benjy didakwa memasukkan dadah syabu ke dalam badannya di Ibu Pejabat  Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada pukul 8.24 pagi, 15 Mac lalu. Selain itu, Hafizza turut menolak permohonan Amer Hamzah supaya dua pertuduhan lain yang dihadapi Benjy dibicarakan secara berasingan. - kosmo
No comments:
Post a Comment