ad ld

Sunday, August 1, 2010

Adib Imam Muda Dijemput Jadi Imam Terawih Di Amerika Syarikat

Biarpun tidak meraih apa-apa kemenangan dalam Imam Muda, Adib telah menerima jemputan sebagai imam terawih di salah sebuah masjid di Amerika Syarikat selama sebulan. Adib atau nama sebenarnya Nik Muhammad Adib Md Amin, 22, dari Kota Baru, Kelantan yang tersingkir pada minggu ketujuh mempunyai pendidikan Sarjana Muda Usuluddin dari Universiti Muta’ah, Jordan.

Menurut Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar, tawaran itu baru sahaja diterima pada malam Kemuncak Imam Muda, Jumaat. Sementara itu, beliau juga mengesahkan jemputan untuk juara Imam Muda Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan dan naib juaranya, Hizbur Rahman Omar Zuhdi untuk menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Gaza setelah ditawarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang turut menghadiri program realiti di Kompleks Pusat Islam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) itu.

Bukan itu sahaja, salah seorang peserta Imam Muda iaitu Muhammad Khairul Azhar Ghazali atau dikenali sebagai Azhar ditawarkan sebagai hos program Khabar Haji di Astro Oasis. “Sepanjang bulan puasa tahun ini, semua imam muda juga mendapat tawaran untuk menjadi imam terawih di Masjid Wilayah Persekutuan dan beberapa masjid negeri. “Alhamdulillah, program ini telah dapat dikenali seluruh dunia dan saya bersyukur program ini dapat melepasi daripada jangkaan kami. “Kita telah mendapat liputan daripada media cetak dan elektronik luar negara seperti BBC World, CNN, Associated Press (AP), majalah Der Spiegel dari Jerman dan media dari Jepun,” katanya penuh gembira kepada mStar Online.

Program Imam Muda mula bersiaran buat pertama kalinya pada 28 Mei lalu selama 10 minggu. Ia turut disertai oleh Ahmad Hazran Ahmad Kamal, Mohd. Taufek Mohd Noh, Amiril Md. Banin, Nuri Ali Arbain, Sharafuddin Suaut dan Ahmad Syakir Zamri. - mstar

No comments: