Tujuannya ke balai polis ialah untuk membuat laporan polis terhadap  akhbar yang menyiarkan berita mengenai penglibatannya dalam kes  perceraian pemain badminton negara Roslin Hashim, namun  penerbit filem  kontroversi Raja Azmi Raja Sulaiman dicekup polis kerana gagal hadir ke  perbicaraan kes sivil.
Raja Azmi, 51, ditahan kira-kira pukul 4.50 petang Khamis di Ibu  Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya selepas beliau membuat laporan polis  mengenai perkara itu. Ketua Polis Ampang Jaya ACP Abdul Jalil Hassan berkata Raja Azmi datang  ke balai tersebut kira-kira pukul 4 petang dengan ditemani seorang  rakan sebelum polis bertindak menahan beliau setelah mendapati namanya  di dalam senarai dikehendaki.
"Pihak polis telah beberapa kali mencari beliau di rumahnya di Hulu  Kelang berhubung kegagalan beliau menghadiri kes perbicaraannya, malahan  hari ini dua kali iaitu kira-kira pukul 1 petang dan 2 petang, namun  tetap tidak berhasil menemuinya. "Ketika kami tiba di rumahnya tadi, kami percaya beliau berada di rumah  namun tiada sesiapa membuka pintu, justeru apabila beliau hadir ke  balai selepas membuat laporan polis, kami terpaksa bertindak  menahannya," kata Abdul Jalil kepada pemberita di pejabatnya di sini  hari ini.
Beliau berkata Raja Azmi kini ditahan di lokap wanita Balai Polis  Pandan Indah dan esok akan dibawa ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur  (Bahagian Dagang), Jalan Duta pada pukul 8.30 pagi. Pada 21 Julai lalu, Raja Azmi yang merupakan isteri kepada bekas jaguh  badminton negara Jalani Sidek tidak menghadirkan diri di mahkamah yang  sama dipercayai berhubung kes sivilnya melibatkan muflis pada 1991. Muka depan beberapa akhbar tempatan hari ini melaporkan Raja Azmi  merupakan punca Roslin bercerai dengan isterinya, Norhayati Othman yang  baru dikahwininya pada 9 Julai lepas. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment