KUALA LIPIS - Seorang kanak kanak berusia tiga tahun lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Jaleh, Lipis, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Lipis, Supritendan Abdul Razak Hassan berkata, kejadian berlaku pada pukul 6.15 petang ketika mangsa, Muhammad Firdaus Zainuddin menyeberang jambatan untuk pulang ke rumahnya.
"Mangsa dikatakan menyeberangi jambatan bersama-sama seorang sepupunya untuk ke rumahnya yang terletak kira-kira 100 meter di seberang sungai,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Abdul Razak berkata, mangsa dan sepupunya itu dipercayai bergurau senda sehingga menyebabkan mangsa secara tiba-tiba terjatuh ke dalam sungai berkenaan.
"Ibu mangsa yang dimaklumkan sepupu mangsa itu, kemudiannya bertindak terjun ke dalam sungai itu untuk mencari mangsa.
"Mayat mangsa kemudiannya ditemui tersangkut pada sebatang kayu kira-kira 40 meter dari tempat mangsa terjatuh,” katanya.
Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Lipis untuk bedah siasat. - Bernama
No comments:
Post a Comment