ad ld

Saturday, June 26, 2010

Dr Asri Isytihar Kekal Ulama Bebas, Tidak Sertai Parti Politik

PETALING JAYA: Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang diuar-uar akan menyerahkan borang sebagai ahli Umno malam tadi menegaskan beliau tidak menyertai mana-mana parti buat masa ini.

"Ingin saya tegaskan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa saya sehingga kini tidak menyertai mana-mana parti politik.

"Sokongan saya adalah kepada kebenaran dan fakta tanpa mengira batasan parti, kaum atau agama. Itulah prinsip Islam yang adil untuk semua," katanya dalam kiriman Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang dihantar kira-kirapukul 10.35 pagi ini.

Pada masa yang sama, kata ulama muda itu, beliau menghormati mana-mana pihak untuk melakukan dakwah khususnya dalam parti politik.

"Saya tidak berhasrat untuk membuat kenyataan yang panjang lebar dalam hal ini demi menjaga perasaan sahabat-sahabat saya dan pihak-pihak lain.

"Apa yang penting ialah saya tidak menyertai mana-mana parti politik dan tidak bercadang untuk memilih jalan itu buat masa ini," tegas beliau.

Malam semalam gembar-gembur bekas Mufti Perlis itu akan menyertai Umno tidak menjadi kenyataan apabila beliau tidak muncul pada majlis penyerahan borang keahlian malam semalam sejurus sebelum berlangsungnya mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di ibu pejabat parti itu di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) .

Sebaliknya yang muncul pada majlis berkenaan ialah 40 orang pendakwah muda yang menyerahkan borang keahlian mereka kepada Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

-- Petikan mstaronline.

1 comment:

Anonymous said...

IYE itu selayaknye buat beliau.....!