KUALA LUMPUR: Hancur luluh hati seorang ibu tunggal apabila mendapati  wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah ratusan  ribu ringgit yang baru diperoleh apabila bersara selepas puluhan tahun  bekerja lesap dari akaun banknya.         Lebih menyedihkan apabila pesara kilang elektronik berusia lewat 50-an  itu mendapat tahu orang yang melesapkan wang RM117,000 itu ialah anak  lelaki tunggal kesayangannya selepas melihat rakaman kamera litar  tertutup (CCTV) di sebuah bank, di sini. 
Mangsa yang hanya menyedari kad mesin juruwang automatik (ATM)  miliknya hilang baru-baru ini, membuat dua laporan di Ibu Pejabat Polis  Daerah (IPD) Ampang Jaya dan Balai Polis Jinjang, dekat sini. Menurut sumber, sebaik melihat wajah anak lelaki dan menantunya  bergembira mengeluarkan wang menggunakan kad ATM miliknya, wanita  terbabit menangis teresak-esak, menggeletar seluruh tubuhnya dan hampir  pengsan. 
“Wanita itu beristighfar panjang dan menjadi tidak keruan apabila  rakaman terbabit menunjukkan anak dan menantunya berulang kali  mengeluarkan wang simpanannya menerusi ATM daripada RM117,000 hingga  tinggal RM15.44 sen,” katanya. Sumber itu berkata, mangsa sedih dan kecewa dengan perbuatan anak  serta menantunya dan hasratnya untuk membeli rumah menggunakan wang  KWSP itu tidak kesampaian. Ketika mangsa membuat laporan, polis sudah mengesyaki kemungkinan keluarga terdekat melakukan perbuatan itu. 
“Ini disebabkan dia kehilangan kad ATM yang disimpan di dalam tas  tangannya. Bagaimanapun, wanita terbabit enggan menerima kemungkinan itu  kerana menganggap anak tunggal kesayangannya itu tidak akan  mengkhianatinya ,” katanya. Berikutan itu, katanya, polis terpaksa meminta bantuan pihak bank untuk  melihat rakaman CCTV pada tarikh pengeluaran wang berkenaan dilakukan. 
Sumber itu berkata, berdasarkan rekod dan rakaman CCTV bank  berkenaan, anak lelaki dan menantu mangsa membuat pengeluaran melalui  ATM sebanyak 52 kali dan 16 kali transaksi pindahan bank dalam tempoh  sebulan dengan jumlah transaksi maksimum RM5,000 sehari. Difahamkan, lelaki berusia 30-an terbabit kini menyembunyikan  diri dengan membawa isteri dan tiga anak selepas menyedari rahsia  kemungkaran dan tindakan derhaka itu diketahui ibunya. 
Sementara itu, Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria  Pagan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mangsa dan  memberitahu siasatan lanjut dilakukan. - hmetro
1 comment:
x kng budi...benciiiii... sian mak dier kan?... aduyai... hanyer mampu bersimpati... nauzubillah....
Post a Comment