ad ld

Saturday, October 23, 2010

Balqis Azman Pelajar Masterskill Ipoh Hilang Di Taiping

IPOH 21 Okt. - Belum pun reda kisah seorang gadis hilang kerana enggan berkahwin di Kemaman, Terengganu, seorang pelajar Kolej Kejururawatan dan Kesihatan Masterkill di sini pula hilang selepas tamat latihan dua minggu di St. John Ambulan di Taiping, 30 September lalu.

Balqis Azman, 18, dari Kampung Kepayang, Fair Park, didapati tidak pulang ke rumah selepas menamatkan latihan itu. Ibunya, Noorlela Abdul Rahman, 37, berkata, dia hanya mengetahui anaknya tidak pulang ke rumah setelah pergi ke kolej itu pada 4 Oktober lalu.

"Apabila saya bertanya dengan pihak pengurusan kolej, mereka memberitahu pelajar yang membuat latihan di Taiping selama dua minggu sudah pulang sejak 30 September lalu. "Saya dapati anak saya tidak pulang bersama rakannya dan saya percaya anak saya hilang semasa di Taiping," katanya pada sidang akhbar di Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional Perak (Kawasan Ipoh Barat) di Taman Ipoh, di sini hari ini.

Noorlela berkata, dia sendiri menghantar anaknya menaiki bas dari sini ke Taiping, 13 September lalu. Menurutnya, semasa mengikuti pengajian, anaknya itu tinggal di sebuah rumah yang disewa kolej berkenaan di Kampung Boyan, Taiping, bersama-sama 15 pelajar lain.

Katanya, Balqis merupakan anak sulung daripada empat adik beradik dan mengikuti pengajian kejururawatan di kolej berkenaan, sejak April lalu. "Saya beberapa kali menghubungi telefon bimbitnya tetapi tidak berjaya. Berikutan itu, saya membuat laporan kehilangan anak saya di Balai Polis di sini pada 4 Oktober lalu, pukul 2 petang," katanya.

Sementara itu, Ketua Urus Setia Pusat Khidmat dan Aduan BN Perak (Kawasan Ipoh Barat), Mohd. Rawi Abdullah berkata, pihak kolej perlu meningkatkan kawalan di kawasan asrama, rumah flat dan rumah sewa bagi mengelak orang luar masuk secara bebas tanpa kawalan.

Tambahnya, sesiapa yang pernah melihat atau mempunyai maklumat tentang remaja itu supaya menghubungi keluarganya di talian 014-2527050. - Utusan

No comments: