ad ld

Sunday, October 31, 2010

Nahas Bas KM 38: Pemandu Bas Disahkan JPJ Tiada Lesen Memandu

KUALA LUMPUR 30 Okt. – Pemandu bas persiaran yang terlibat dalam kemalangan mengorbankan tujuh penumpang di Kilometer 38 Genting Sempah berhampiran susur ke Genting Highlands dekat sini malam tadi, disahkan tidak memiliki lesen memandu.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor, Supritendan Che Hussin Omar berkata, polis dimaklumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bahawa pemandu berusia 40-an itu tidak mempunyai lesen memandu selepas membuat semakan.


Beliau berkata, lelaki terbabit sebelum ini mengaku kepada polis bahawa dia mempunyai lesen memandu namun semakan dengan JPJ menunjukkan sebaliknya. “Sehubungan itu, kita telah menahan pemandu terbabit untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara merbahaya yang boleh menyebabkan kematian. “Di bawah seksyen ini, pemandu terbabit boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Che Hussin berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan pemandu bas itu memandu laju sebagai punca kemalangan. “Kita belum lagi mengambil keterangan daripada saksi-saksi kemalangan yang terselamat kerana keadaan belum mengizinkan memandangkan ramai masih tidak stabil dan trauma. “Selain itu, kita masih menunggu laporan kotak hitam dan pemeriksaan fizikal bas daripada Puspakom (Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer Sdn. Bhd.),” katanya.

Beliau berkata, selain pemandu, pengusaha syarikat bas persiaran terbabit turut boleh dikenakan tindakan jika membenarkan pemandu tiada lesen membawa kenderaan mereka. “Selain itu, tindakan juga boleh dikenakan jika membenarkan bas yang mempunyai masalah teknikal untuk beroperasi,” ujar beliau. - utusan

No comments: