ad ld

Thursday, October 21, 2010

Terkini Tragedi Bot Karam: Polis Tatau Teruskan Usaha Cari, Slmt Mangsa

BINTULU, 21 Okt (Bernama) -- Balai Polis Daerah Tatau akan meneruskan usaha mencari dan menyelamat mangsa tragedi bot karam selain membuka pusat menyelamat sementara di Kem Balak Kelebu kira-kira 60 kilometer dari sini.

Ketua Polis Daerah Bintulu
DSP Wan Zaizodin Wan Jaafar berkata keputusan itu dibuat memandangkan tiada laporan baru mengenai orang hilang dari kawasan itu dibuat sejak semalam. "Kita harus mengekalkan pusat ini kerana kita tidak tahu jumlah sebenar penumpang yang berada di dalam bot ekspres 'Liang Yu' yang karam di sungai Kakus," katanya.

Kemalangan berlaku kira-kira 2.30 petang pada Isnin apabila sebuah bot ekspres penumpang dilaporkan berlanggar dengan sebuah tongkang balak yang sedang ditarik oleh bot tunda di Ulu Anap, Kakus.

Kapten bot juga tidak tahu berapa jumlah sebenar penumpang dalam insiden tersebut walaupun beliau percaya antara 20 hingga 30 penumpang, katanya apabila dihubungi pada Khamis. Sehingga kini katanya 17 penumpang dilaporkan selamat dan 13 mayat ditemui.

"Kita telah memaklumkan kepada masyarakat di sini agar membuat laporan polis sekiranya terdapat ahli keluarga mereka yang hilang bagi membolehkan kita menjejaki jumlah sebenar mangsa bot tersebut. "Sejak menemui tujuh mayat dari sungai itu semalam, kami belum lagi menerima laporan baru," kata Wan Zaizodin yang mengetuai operasi mencari dan menyelamat.

Sementara itu, ahli keluarga mangsa tragedi bot karam itu telah berkumpul di hospital di sini sejak awal pagi untuk menuntut mayat bagi tujuan pengebumian. Mereka yang terkorban lapan adalah wanita, lima lelaki dan empat kanak-kanak.

Kemalangan itu adalah antara yang terburuk setakat ini membabitkan penumpang bot ekspres di Bahagian Bintulu. - bernama

1 comment:

Unknown said...

1 tragedi yang menyayat hati.kesian baby yg berusia 10 bln tu...malang tak berbau