ad ld

Saturday, October 23, 2010

Keju Dri Australia Yg Dicemari Bakteria 'Listeria Monocytogenes' Tdk Dieksport Ke Malaysia - Liow

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Kementerian Kesihatan hari ini mengesahkan bahawa produk keju keluaran Syarikat B.-dParis Creek Pty Ltd di Selatan Australia yang dicemari 'Listeria monocytogenes', sejenis bakteria yang boleh menyebabkan masalah kesihatan, tidak dieksport ke Malaysia.

Menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata Kementerian Kesihatan telah mengambil langkah proaktif dengan menghubungi syarikat terbabit dan wakil syarikat berkenaan memaklumkan bahawa tiada pengeksportan produk itu ke Malaysia.

Beliau berkata maklumat ini juga disahkan melalui Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (FOSIM). "Kementerian telah mengambil maklum kenyataan akhbar Sydney Morning Herald dan laporan Australian Competition and Consumer Commission melalui laman webnya bertarikh 19 Okt berkenaan isu penarikan balik produk keju Paris Creek Cheese Norwegino, Paris Creek Cheese Gouda, Paris Creek Cheese Tilsit dan Paris Creek Cheese Cheddar. "Keju itu yang dikeluarkan oleh Syarikat B.-dParis Creek Pty Ltd di Selatan Australia dikeluarkan dari pasaran Singapura dan Australia kerana dikesan tercemar oleh Listeria monocytogenes," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Berikutan itu, kementerian mengenakan tindakan pemeriksaan tahap 5 (Tahan, Uji dan Lepas) di semua pintu masuk untuk analisis Listeria monocytogenes iaitu sejenis bakteria yang boleh menyebabkan penyakit bawaan makanan dikenali listeriosis.

Listeriosis boleh menyebabkan demam kuat, sakit kepala yang teruk, kekejangan pada leher dan loya. Wanita mengandung, warga emas dan mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah, tergolong dalam kumpulan berisiko.

Wanita mengandung yang dijangkiti bakteria ini boleh mengalami keadaan seakan selsema yang ringan, menyebabkan kelahiran pramatang, jangkitan pada bayi yang dilahirkan atau bayi mati dalam kandungan.

Liow berkata kementerian sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan pengguna.

"Dengan penguatkuasaan yang bersungguh dan berterusan di pasaran tempatan dan setiap pintu masuk negara, kementerian memberi jaminan kepada penduduk Malaysia bahawa tahap keselamatan dan kualiti makanan yang masuk ke negara ini adalah pada tahap terkawal," katanya.

Liow berkata mulai 1 Julai 2008, Kementerian Kesihatan telah mengenakan keperluan Sijil Kesihatan dan Sijil Analisis bagi Listeria monocytogenes oleh negara pengeluar bagi semua produk keju yang dieksport ke negara ini.

Daripada pemantauan yang dijalankan, sebanyak 44 produk keju telah disampel dan kesemuanya mematuhi dan tidak dikesan mengandungi bakteria berkenaan. - Bernama

No comments: