ad ld

Wednesday, October 6, 2010

Bapa Geram Tumbuk Pembunuh Anak, Pengasuh

SHAH ALAM: Setelah tujuh tahun menunggu, bekas Setiausaha Umno Bahagian Klang, dekat sini, Shohimi Shafie akhirnya melepaskan geram ke atas bekas konstabel polis yang didakwa membunuh anaknya dengan menumbuk dada lelaki tersebut.

Kejadian berlaku semasa Mohd Nahar Abu Bakar, 34, dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi di sini Selasa, di mana dia dijatuhkan hukuman gantung sampai mati atas kesalahan membunuh anak Sohimi dan juga pengasuh kanak-kanak itu. Shohimi yang sedang ditemu ramah oleh media, tiba-tiba menumbuk dada Mohd Nahar yang bergari di belakang dan dikawal oleh dua anggota polis mahkamah untuk di bawa turun ke lokap. “Kurang ajar!” jerit Shohimi, 42, ke arah Mohd Nahar yang turut digelarnya sebagai pembunuh budak.
 
Mohd Nahar yang pernah berkhidmat di Ibu Pejabat Daerah Lumut, Perak hanya menundukkan kepala. Terdahulu, Hakim Mohd Yazid Mustafa menyabitkan Mohd Nahar bersalah atas tuduhan membunuh Muhammad Nurosama Shohimi, dua tahun setengah dan Siti Rohana Baharom, 34, pada pukul 1 petang, 30 Disember 2003. Kesalahan itu didakwa dilakukan di rumah Siti Rohana di B-5-19, Flat Cempaka, Bandar Baru Klang, Klang. Muhammad Nurosama ditikam dua kali di belakang badan semasa sedang menonton televisyen manakala Siti Rohana ditikam sekali di dada. Semasa mayat ditemui, Siti Rohana masih mengenggam wang sebanyak RM21.

Tertuduh yang melarikan diri hanya ditangkap enam tahun selepas kejadian kerana cukai jalan keretanya tamat tempoh dan didakwa kali pertama di Mahkamah Majistret Klang pada 20 Oktober 2009. Pada penghakimannya, Mohd Yazid menolak pembelaan tertuduh yang mendakwa tidak pernah naik ke rumah itu, sebaliknya pergi ke tempat kejadian bagi berjumpa rakannya, Wan Gemuk untuk menghisap dadah di kawasan pembuangan sampah flat itu. “Saya berpuas hati dengan keterangan bahawa tertuduh adalah orang yang telah masuk ke dalam flat dan turun kembali ke kereta.

“Sebelum tertuduh naik semula ke flat, tertuduh telah arahkan Normah Jantan (teman wanitanya dan juga sepupu kepada Siti Rohana) menghidupkan enjin kereta dan pergi ke tempat letak barang dan mengambil pisau Rambo serta naik semula ke flat,” katanya. Beliau juga berpuas hati dengan keterangan anak perempuan Normah yang dijaga oleh Siti Rohana, Siti Aishah yang melihat tertuduh menikam mangsa dan melarikan diri. - mstar

1 comment:

mamaaerish@eb said...

tumbuk jerk?.... kalo eb ntahla eb wat aper... mmg ati kering punyer species nih...