ad ld

Wednesday, October 13, 2010

Isteri 'BEG TINJU'

KUALA LUMPUR: Derita seorang isteri bukan kepalang apabila dilayan suami tidak ubah seperti beg pasir apabila suaminya kerap menjadikan tubuhnya sebagai sasaran tinju dan sepak terajang hanya kerana menuduh mangsa berfoya dengan lelaki lain di dalam laman sembang Internet. Lebih simpati apabila mangsa yang juga anak saudara seorang kenamaan bergelar Dato Sri dipukul saban hari kerana sikap cemburu melampau suaminya hanya mendapatkan rawatan di hospital kerajaan setiap kali dibelasah sejak dua tahun.

Malah, ibu mangsa yang cuba mempertahankan anaknya daripada dipukul menerima nasib malang apabila dihentak dengan kipas angin meja oleh suspek, kelmarin. Sumber polis berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang kelmarin apabila suspek yang berusia 30 tahun datang ke rumah keluarga isterinya di sebuah pangsapuri kos rendah di Jalan San Peng, di sini.

“Suspek yang juga seorang pemandu teksi memujuk isterinya itu yang bekerja sebagai pembantu perubatan di sebuah klinik gigi supaya pulang ke rumah. “Berdasarkan siasatan, suspek kerap bertengkar dengan isterinya itu berikutan sikapnya yang sering prasangka dan menuduh mangsa mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain. Sikap buruk itu menyebabkan mangsa sering ditumbuk dan dipukul suaminya,” katanya. Menurutnya, sikap cemburu buta suspek menyebabkan mangsa sering tertekan dan kerap melarikan diri dari rumah semata-mata bagi mendapatkan perlindungan daripada ibu bapanya.

Berdasarkan siasatan, suspek tanpa usul periksa menyerang dan menuduh isterinya menjalin hubungan sulit dengan ramai lelaki lain melalui laman sembang sosial di Internet. “Bagaimanapun, tindakan suspek yang seolah-olah memaksa mangsa untuk mengikutnya pulang menyebabkan berlaku pertengkaran sebelum suspek memukul mangsa berulang kali di hadapan ibu mentuanya. “Tindakan kasar itu menyebabkan ibu mentua suspek tidak berpuas hati dan mempersoalkan tindakan suspek,” katanya.

Menurutnya, suspek yang berang bertindak agresif mengambil kipas meja dan mencampakkannya ke arah ibu mentuanya. “Perbuatan ganas suspek menyebabkan abang mangsa campur tangan dan memberitahu akan membuat laporan polis sekiranya suspek bertindak kasar terhadap ibu dan adiknya. Namun, suspek sebaliknya mencabar abang mangsa supaya membuat laporan polis dengan mendakwa dia kebal dan tidak gentar tindakan undang-undang,” katanya.

Tidak tahan sikap kurang ajar adik iparnya itu, suspek dihalau dari rumah berkenaan. “Susulan itu, mangsa pergi ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, di sini, selepas tidak tahan menjadi mangsa belasahan suaminya setiap hari.

“Mangsa cedera serius pada tangan kiri, pinggang dan kaki akibat kesan dipukul suaminya itu,” katanya. Susulan laporan itu, polis menjalankan siasatan sebelum memberkas suspek bagi diambil tindakan mengikut Seksyen 323 kerana mendatangkan kecederaan dengan sengaja. - hmetro

No comments: