GEORGETOWN: “Pada malam kejadian, lelaki itu datang dengan menunggang motosikal dan secara tiba-tiba dia menyimbah ‘air’ ke muka saya sambil mengejek, ‘padan muka hang’ sebelum beredar.
“Saya tersentak dan terkejut apabila muka dan badan menjadi sejuk seketika sebelum bertukar panas, selain seluruh kulit bertukar menjadi hitam seakan-akan terbakar dan membengkak,” kata seorang gadis yang parah
akibat disimbah cuka getah di Taman Cenderawasih, Seberang Prai Selatan (SPS), 17 Oktober lalu.
Gadis berusia 21 tahun itu yang hanya mahu dikenali sebagai Ain, mendakwa menjadi mangsa balas dendam selepas menolak cinta lelaki terbabit. Berikutan kejadian itu, hasratnya untuk mengikat tali pertunangan pada Aidiladha ini mungkin tidak kesampaian apabila hampir 70 peratus muka, tangan dan badannya melecur teruk.
Ain berkata, sebelum kejadian, dia bersama ibunya berada di rumah neneknya. Ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya tidak jauh dari situ, kira-kira jam 11 malam, dia terdengar bunyi deruman enjin motosikal yang tiba-tiba berhenti berhampirannya sebelum seorang lelaki tiba-tiba menyimbah cuka getah ke arahnya.
Katanya, dia mengenali lelaki itu kerana sudah beberapa kali menyatakan hasrat untuk berkenalan tetapi ditolaknya secara baik. “Sudah beberapa kali saya beritahu mempunyai teman lelaki, namun dia tidak dapat menerimanya. Malah, dia pernah mengekori saya setiap kali pergi dan balik kerja sehinggalah saya berhenti bekerja di kilang, Julai lalu. “Saya ketika itu menjadi kerani mengenali lelaki berusia 26 tahun berkenaan yang menjadi operator di kilang sama di Nibong Tebal, April lalu. Dia pernah meluahkan perasaan cinta serta sayang kepada saya, tapi saya tak dapat menerimanya kerana bakal bertunang, bulan depan,” katanya ketika ditemui di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini, semalam.
Ain berkata, pada malam sebelum kejadian, lelaki itu ada menelefon kerana mahu menemuinya tetapi dia menolak dengan baik dan tidak menyangka lelaki berkenaan sanggup bertindak sekejam itu, sekali gus memusnahkan masa depannya. “Sejurus disimbah cuka getah, saya berlari ke rumah ibu tidak jauh dari rumah nenek untuk meminta bantuan lalu dihantar ke Hospital Sungai Bakap sebelum dipindahkan ke HPP untuk rawatan lanjut,” katanya.
Berikutan itu, dia berharap lelaki terbabit dikenakan tindakan sewajarnya berikutan kesengsaraan dialaminya dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis. Keluarga mangsa yang enggan dikenali berkata, kejadian itu mengejutkan mereka sekeluarga kerana tidak menyangka lelaki terbabit akan bertindak sekejam itu.
Sementara itu, Ketua Polis Seberang Prai Selatan (SPS), Superintendan Shafien Mamat berkata, pihaknya menahan suspek yang bekerja sebagai kelindan lori di rumahnya pada 20 Oktober lalu.
Beliau berkata, motif kejadian dipercayai berpunca daripada mangsa tidak membalas cinta suspek. Lelaki itu dipercayai menggunakan cuka getah yang diisi dalam kole untuk menyimbah ke muka dan badan mangsa. “Mangsa cedera teruk akibat melecur pada bahagian mata putih dan muka sebelah kiri, kedua-dua lengan tangan serta bahagian belakang badan,” katanya. Katanya, siasatan lanjut polis mendapati suspek positif dadah dan mempunyai tiga rekod jenayah lampau, dua membabitkan dadah serta satu kes jenayah.
Shafien berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mengakibatkan cedera parah dengan senjata yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan. Shafien berkata, suspek didakwa di Mahkamah Seksyen Butterworth hari ini. - hmetro
6 comments:
ish..bahaya betul skang ni..kesian si mangsa..
masalah btul, tak bleh terima hakikat mamat ni. sian budak pompuan ni
aduhaiii, sungguh memilukan.
kesian dia.
macam mana dia nak kawin?
hopefully bakal tunang dapat terima.
lepas ni, asid tu jadi barang kawalan..tak boleh dijual sesuka hati sbb kes2 mcm ni dah bnyk..sikit2 siram asid..sikit2 marah siram asid..byk sungguh manusia yg mental skrg ni..huhu
aper nk jadi malaysia nih... takotnyer
Post a Comment