ad ld

Monday, November 1, 2010

Pemandu Bas Nahas Km 38 Karak Minta Maaf, Pandu Guna Sblh Tangan Krn Cacat

KUALA LUMPUR 31 Okt. - Pemandu bas persiaran yang terlibat dalam kemalangan mengorbankan tujuh penumpang di Kilometer 38 Genting Sempah berhampiran susur ke Genting Highlands dekat sini malam kelmarin, mengaku memandu menggunakan sebelah tangan kerana cacat.

Pemandu berusia 36 tahun itu berkata, dia mengalami kecacatan tersebut selepas terlibat dalam kemalangan motosikal pada 2006. "Saya memilih bekerja sebagai pemandu bas kerana tidak mampu melakukan pekerjaan lebih berat kerana tangan kanan saya cacat sedikit dan tidak kuat selepas terbabit dalam kemalangan," katanya ketika ditemui di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini hari ini.


Dia bersama tiga lagi mangsa yang parah dalam kejadian itu menerima kunjungan Ketua UMNO Bahagian Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim. Menurutnya, dia sudah memandu bas sejak lima tahun lalu dan sepanjang tempoh berkenaan lelaki tersebut mengaku tidak memiliki lesen yang sah. Katanya, dia pernah mendapat lesen memandu bas dari sebuah institut memandu sebelum ini namun digantung Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana didapati 'lesen terbang' atau tidak sah pada 2001.

"Pada 2005, saya sekali lagi cuba memohon mendapatkan lesen memandu namun gagal kerana nama sudah disenarai hitam oleh JPJ kerana kesalahan memiliki 'lesen terbang' sebelum itu," ujarnya. Tambahnya, dia hanya dibenar mendapatkan lesen memandu jika menjelaskan bayaran denda tetapi tidak mampu berbuat demikian kerana masalah kewangan. "Saya mempunyai tiga anak berusia 10 hingga 13 tahun, manakala isteri pula hanya seorang suri rumah memang hidup susah.

"Sebab itu, saya terpaksa bekerja sebagai pemandu bas walaupun tanpa memiliki lesen memandu," katanya. Dalam tempoh lima tahun bekerja memandu bas, katanya, hanya dua kali dia menerima tawaran bekerja dengan syarikat bas persiaran yang terlibat dalam kemalangan tersebut. "Sebelum ini, saya bekerja memandu bas dengan syarikat lain sehinggalah bertemu dengan seorang rakan yang mempelawa saya memandu bas di syarikat tersebut.

"Kali pertama saya memandu bas dengan syarikat terbabit ialah pada September lalu ketika membawa satu rombongan ke Melaka, diikuti rombongan 43 ahli Belia 4B ke Genting Hinglands," katanya sambil memberitahu pertama kali bas yang dipandunya terbabit dalam kemalangan. Lelaki itu mendakwa, pengusaha syarikat bas terbabit mengetahui dirinya tidak memiliki lesen memandu namun memujuknya dengan alasan pihaknya menghadapi masalah kekurangan pemandu.

Katanya, dia pada mulanya menolak tawaran tersebut tetapi akhirnya bersetuju menerima tugas itu kerana simpati dengan pemandu bas pertama iaitu rakannya yang mengadu keletihan. "Rakan saya memujuk untuk menemaninya kerana keletihan setelah memandu 11 jam dari Genting Highlands kerana membawa rombongan lain dan baru tiba di Baling," ujarnya.

Katanya, dia menerima upah RM170 untuk membawa rombongan ke Melaka sebelum ini, namun tidak mengetahui bayaran bagi tugas kali ini kerana pemilik bas memaklumkan akan membayarnya selepas pulang ke Baling, Kedah nanti.

Menceritakan detik-detik cemas kemalangan tersebut, katanya, dia mula gagal mengawal bas setelah melepasi pondok polis bantuan di Genting Higlands yang berpunca kerana masalah brek. Selepas itu, katanya, bas terbabit melanggar belakang sebuah kereta Mercedes-Benz menyebabkan kereta berkenaan terbabas ke tepi jalan, manakala kenderaannya menggelongsor laju. "Sebaik sahaja menyedari brek bas rosak, saya terus menjerit memaklumkan kepada polis bantuan di pondok kawalan. "Pada masa sama, saya mendengar penumpang bas menjerit-jerit ketakutan sambil berdoa sebelum bas terbalik," katanya yang mengalami patah kaki dan menerima 12 jahitan di kepala akibat luka dalam kejadian itu.

Dia yang kesal dengan perbuatannya memohon maaf kepada semua mangsa serta ahli keluarga mereka kerana kecederaan dan kehilangan insan-insan tersayang. "Saya tahu saya salah kerana memandu tanpa lesen. Saya betul-betul minta maaf (kepada mangsa). Pemandu bas lain, saya nasihatkan jangan memandu jika tidak ada lesen," ujarnya yang bertekad enggan memandu bas selepas ini dan merancang mencari pekerjaan lain. - utusan

1 comment:

Unknown said...

sian pulak..nasib malang