ad ld

Tuesday, September 21, 2010

Wan Chik Elak Sengketa Tidak Ziarah Kematian M.Rajoli

Isteri kedua kepada pelakon M.Rajoli iaitu Wan Chik Daud tidak hadir pada majlis pengkebumian suaminya pada Sabtu lalu kerana tidak mahu mengeruhkan lagi sengketa diantara beliau dengan keluarga isteri pertama Allahyarham. Wan Chik yang juga bekas juruhebah radio RTM itu berkata, dia juga kesal apabila tidak diberitahu mengenai kematian Allahyarham lebih awal termasuklah ketika arwah berada dalam keadaan nazak. “Saya hanya mengetahui Allahyarham meninggal dunia selepas seorang rakan artis menghubungi saya. Malah seorang anak Allahyarham hanya memaklumkan kepada saya ketika jenazah sudah siap untuk dikebumikan,” katanya.

Pelakon M.Rajoli atau nama sebenarnya Mohd Rajoli Mohamed Zin, 65, meninggal dunia di Hospital Ampang pada 17 September lalu kira-kira pukul 10.45 malam akibat sesak nafas setelah menderita penyakit barah otak sejak tiga tahun lalu. Akibat penyakit itu Allahyarham menjadi lumpuh satu badan sehingga terpaksa menggunakan sistem bantuan pernafasan.Jenazah beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur keesokkan harinya tanpa kehadiran isteri kedua, Wan Chik. Menurut Wan Cik, dia sudah lama berkecil hari dengan ahli keluarga isteri pertama Allahyarham sehingga dia merasa kehadirannya untuk majis pengkebumian itu tidak diperlukan selain tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan.

"Bukan saya tidak mahu pergi. Sebagai isteri saya amat merindui suami setelah setahun setengah tidak berjumpa, cuma saya tidak mahu mengeruhkan 'sengketa' dengan keluarga isteri pertama," jelasnya yang memberitahu sering termimpi Allahyarham sebelum kematiannya. Jelasnya lagi, tiada gunanya dia pergi menjenguk jenazah suami yang sudah terbujur kaku sedangkan semasa hayat dia tidak dapat bertemu dengan Allahyarham. "Kehadiran saya di majlis pengebumian tidak dirasai oleh arwah. Bagi saya, tiada gunanya untuk menunjuk kasih sayang dengan menangis di kubur.

"Biarpun tidak dapat bertemu tapi kami berdua sudah berjanji untuk bertemu semula di akhirat. Saya pasrah dan reda dengan apa yang telah terjadi. Sebagai isteri saya hanya mampu menghadiahkannya bacaan doa dan surah Yasin kepada Allahyarham," ujarnya yang menafikan dia berada di Amerika Syarikat ketika majlis pengebumian seperti dilaporkan media. - mstar