ad ld

Tuesday, September 14, 2010

Terkini Kes Datuk Sosilawati Mati Dibunuh: Pembunuh Profesional Mungkin Terlibat

Polis tidak menolak kemungkinan pembabitan pembunuh profesional atau kumpulan samseng dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain. Pembunuh profesional atau kumpulan samseng itu dikatakan bekerjasama dengan dua peguam adik-beradik yang ditahan sebagai suspek utama termasuk salah seorangnya bergelar Datuk bagi melakukan pembunuhan kejam itu sebelum membakar mayat mereka. Menurut sumber, siasatan juga mendapati Datuk itu pernah memberi bantuan guaman kepada pertubuhan haram Hindraf dan menjadi ahli seumur hidup kepada sebuah parti politik.

Suspek (foto) dibawa ke lokasi senjata yang dibuang dalam kes pembunuhan Datuk Sosilawati dan tiga individu lain di Sungai Kanchong Laut, semalam.
 Selain itu, kata sumber tersebut, setakat ini pihak polis telah mendapat maklumat penting berhubung pemilikan suspek terhadap beberapa hartanah yang dipercayai diperolehi secara tidak sah, selain kes-kes membabitkan penipuan terancang. Semalam, polis mengesahkan Sosilawati, 47, bersama tiga lelaki iaitu pemandu peribadinya, Kamaruddin Shamsudin ,44, pegawai Bank CIMB, Noorhisham Mohamad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, yang hilang sejak 30 Ogos lalu dibunuh. Mangsa dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abu dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, di Morib.

Selain Datuk itu dan adiknya, polis turut menahan enam individu lain termasuk dua wanita. Mengulas lanjut, sumber berkenaan memberitahu, kejayaan polis membongkar kes pembunuhan itu dalam tempoh singkat berpandukan kepada maklumat yang diperoleh daripada pesanan yang ditinggalkan Sosilawati. "Polis bernasib baik kerana mangsa sempat meninggalkan pesanan kepada ahli keluarganya memaklumkan lokasi dan individu yang mahu ditemui pada hari dia dilaporkan hilang. "Maklumat penting ini membolehkan polis menjejaki suspek dua beradik terbabit sebelum berjaya diberkas Sabtu lalu," katanya ketika dihubungi.

Difahamkan, siasatan polis juga mendapati suspek bergelar Datuk tersebut kerap menghulurkan pelbagai bentuk bantuan termasuk menawarkan khidmat guaman secara percuma. Malah, dia juga dikatakan bijak menarik perhatian masyarakat menyebabkan firma guamannya menjadi popular dan ramai pelanggan berminat mendapatkan khidmat termasuk golongan kenamaan. Difahamkan, peguam terbabit pernah beberapa kali memanggil media untuk mengadakan sidang akhbar berhubung mangsa yang dianiaya oleh majikan dan kes-kes membabitkan gangguan seksual.

Selain itu, menurut sumber polis, dua beradik berkenaan pernah dikenakan tindakan tatatertib oleh Majlis Peguam Malaysia, tiga tahun lalu iaitu mulai 9 Mac 2007 sehingga 30 Mac 2008. "Kedua-dua mereka bersama seorang lagi proksi dikenakan tindakan tatatertib di bawah Perkara Akta Undang-Undang Profesyen 1976. "Tindakan ini menyebabkan Datuk berkenaan dan adiknya tidak layak untuk menjalankan amalan guaman dan menawarkan khidmat guaman kepada orang ramai," katanya.
Menurut sumber itu lagi, adik Datuk itu pula pernah dikaitkan dengan tiga tuduhan kes pecah amanah membabitkan pertukaran hak milik tanah yang dimiliki seorang wanita bernilai RM200,000 pada akhir tahun lalu. - Utusan

No comments: