Pelawak popular iaitu Maidin Ibrahim, 76, meninggal dunia di kediamannya
 di Pokok Tai, Gurun Kedah kira-kira pukul 2 petang Rabu ketika dalam 
solat akibat sakit jantung. Berita itu disahkan oleh menantu Allahyarham iaitu Mohd. Saiful Nizam Saari, 38.
“Saya ingin mengesahkan, bapa mertua saya telah meninggal dunia ketika 
dalam solat Zohor kira-kira pukul 2 petang tadi,” katanya. Mohd Saiful berkata, isteri Allahyarham iaitu Habirah Rahim, 59, yang 
hendak ke bilik menemui Allahyarham telah rebah sebelum disahkan 
meninggal dunia.
Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Taman Sri Jerai, Gurun selepas solat Isyak pada Rabu. Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan lima orang anak iaitu 
seorang lelaki dan empat perempuan berusia antara 32 hingga 45 tahun dan
 13 orang cucu. Maidin berasal dari Bagan Lalang Butterworth dan kini menetap di Gurun.
Pada tahun 2009 Allahyarham pernah dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) kerana menghadapi masalah jantung. Dalam dunia lakonan, Maidin banyak berlakon drama-drama komedi termasuklah filem antaranya Anak Mami The Movie, Nana Tanjung dan Mami Jarum Junior. Allahyarham juga pernah memenangi Pelakon Pembantu Terbaik Anugerah Skrin (2001) anjuran TV3 untuk drama Pinang Durian.
Sementara itu Bernama melaporkan, Habirah memberitahu suaminya itu sudah
 lama menghidap penyakit jantung namun tidak menyangka arwah akan 
meninggalkannya dalam masa terdekat. "Arwah berhajat mahu makan nasi kandar di sebuah restoran kegemarannya 
di Sungai Petani, dan kami baru sahaja pulang dari sana kira-kira 1.30 
tengah hari tadi," katanya. mstar
--  Anak Kembar Di Usia 17 Bulan Pandai Buat Apa?
--  Mee Udang Pulau Sayak Kuala Muda, Sedap Dan Murah
--  Perkahwinan Jaclyn Victor Dan Shawn Rivera Vokalis Az Yet
--  Robin Williams Ditemui Mati Disyaki Bunuh Diri (Gambar) 

No comments:
Post a Comment