Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan 22 Ogos
 (Jumaat) sebagai hari berkabung negara berikutan ketibaan jenazah warga
 Malaysia mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 di Ukraine.
Beliau berkata satu istiadat penghormatan jenazah tragedi itu akan 
diadakan pada hari tersebut di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang 
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berikutan ketibaan 16 jenazah tragedi 
itu termasuk seorang bukan warga negara Malaysia.
Katanya jenazah itu akan dibawa melalui sebuah pesawat khas dari Amsterdam yang dijangka tiba di KLIA pada 10 pagi. "Upacara penghormatan untuk jenazah dibuat secara tertib, sesuai dengan 
penghormatan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan 
mesyuarat istiadat penghormatan penerimaan jenazah tragedi pesawat 
MH17.
Muhyiddin berkata Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah
 dijangka berangkat ke istiadat tersebut, yang turut dihadiri Perdana 
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, jemaah menteri, menteri besar dan 
ketua menteri serta keluarga mangsa. Muhyiddin berkata tiada cuti umum sempena hari berkabung negara tersebut.
Pada upacara itu, setiap jenazah akan diusung pegawai istiadat dari 
Angkatan Tentera Malaysia dan dibawa menaiki 16 kereta jenazah dan 
diberi penghormatan mengikut agama masing-masing serta bertafakur. Katanya sembilan daripada 15 jenazah warga Malaysia itu bukan beragama Islam.  Identiti jenazah hanya akan diumumkan pada upacara tersebut. Muhyiddin berkata beberapa jenazah akan dibawa ke kampung halaman dan akan diiringi waris.
Setakat ini, beliau berkata pesawat Nuri akan menerbangkan tiga jenazah 
ke beberapa negeri di Semenanjung manakala sebuah pesawat Charlie akan 
menerbangkan satu jenazah ke Sarawak. Katanya, terdapat permintaan bagi dua daripada jenazah mangsa menjalani 
proses pembakaran di Belanda sebelum diterbangkan ke tanah air.
Beliau berkata jenazah seorang warganegara Belanda juga akan dibawa ke 
Malaysia untuk disemadikan kerana terdapat permintaan dan menurutnya 
mangsa dipercayai asalnya warganegara Malaysia yang berkahwin dengan 
warga Belanda. Muhyiddin berkata setakat ini, 24 jenazah warga negara Malaysia mangsa 
tragedi MH17 telah dikenal pasti oleh pihak berkuasa di Amsterdam, iaitu
 14 penumpang dan 10 anak kapal.
Beliau berkata jenazah selebihnya yang sudah dikenal pasti itu belum
 melalui proses lengkap dan akan dihantar pulang secara berperingkat. "Bukan kita tidak boleh bawa sekali (semua sekali) tetapi pihak di sana 
(Belanda) beri kata putus bila masa sesuai boleh dibawa pulang. "Bagi jenazah yang berbaki, kita masih menunggu isyarat daripada Belanda
 dan sedang dipantau oleh Kementerian Pengangkutan dan MAS.
Selepas 22 Ogos ini, kemungkinan selang beberapa hari ada penerbangan supaya waris tidak tunggu lama," kata Muhyiddin. Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan juga akan mengadakan upacara 
penghormatan jenazah bagi mangsa lain yang tiba kemudiannya tetapi 
upacara itu akan diadakan secara lebih ringkas.
Beliau berkata tiada tempoh tertentu ditetapkan untuk pencarian semua 
mangsa rakyat Malaysia kerana usaha masih diteruskan bagi memasuki 
lokasi nahas di Ukraine yang merupakan kawasan pertempuran. "Kita belum selesai lagi. Pihak-pihak di sana (Belanda) masih 
menjalankan proses forensik dan DNA. Biarlah tunggu sehingga semuanya 
selesai," katanya.
Penerbangan MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal terhempas 
di wilayah Donetsk, timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada 17 
Julai. Pesawat Boeing 777-200 itu dipercayai ditembak jatuh, namun setakat 
initiada pihak mengaku bertanggungjawab melakukan perbuatan kejam itu. mstar
--  Perodua Axia Dibuka Untuk Tempahan Harga Dari RM24900 (Gambar)
--  Perkahwinan Jaclyn Victor Dan Shawn Rivera Vokalis Az Yet
--  Pernikahan Imam Muda Naufal Dan YM Tengku Hasanah Di Taman Hillview (Gambar)
--  Rozita Che Wan Pakai Baju Ketat Jaga Badan (Gambar) 

1 comment:
kebetulan pulak 22hb tu saya berkursus di KLIA...mesti ramaiii org kan..
Post a Comment