Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat dijatuhi hukuman penjara lima 
tahun oleh Mahkamah Rayuan selepas mahkamah mendapati beliau bersalah 
meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, hampir enam tahun 
lepas.
Hakim Datuk Balia Yusof Wahi yang mengetuai panel tiga anggota 
mendengar rayuan pihak pendakwaan dalam kes itu, bagaimanapun 
membenarkan permohonan Anwar bagi penangguhan hukuman sementara menunggu
 rayuan, dengan jaminan RM10,000. Hakim Balia memerintahkan Anwar yang juga Ketua Pembangkang membayar jaminan itu Isnin ini sebelum 11 pagi.
Semasa prosiding pada Jumaat, mahkamah diganggu oleh penyokong Anwar 
yang membuat bising dan menjerit dalam mahkamah menyebabkan Hakim Balia 
memberikan amaran kepada mereka agar berhenti berbuat demikian. Semasa membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan Anwar 
daripada pertuduhan itu, Hakim Balia berkata panel sebulat suara 
memutuskan hakim perbicaraan telah khilaf dalam membuat penghakimannya 
bahawa sampel DNA dalam kes itu telah dicemari.
Anwar dituduh meliwat Mohd Saiful, ketika kejadian berumur 23 tahun, 
di Kondominium Desa Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26
 Jun 2008. Peguam mewakili Anwar, Karpal Singh ketika ditemui pemberita 
kemudiannya, berkata dengan keputusan itu, Anwar tidak layak 
mengemukakan borang pencalonan bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan 
Negeri Kajang, Selangor pada Selasa ini.
Terdahulu, semasa mensabitkan Anwar, 67, Hakim Balia berkata mahkamah
 mendapati hakim perbicaraan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah telah 
tersalah arah dirinya sendiri apabila gagal mengiktiraf integriti sampel
 DNA itu. Hakim Balia, yang mendengar rayuan itu bersama-sama Hakim Datuk Aziah
 Ali dan Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh, berkata hakim perbicaraan telah
 gagal meneliti secara terperinci keterangan dua ahli kimia, Dr Seah Lay
 Hong dan Nor Aidora Saedon, berhubung keterangan bahawa sampel telah 
diusik.
Beliau berkata hakim perbicaraan telah tersalah tafsir apabila 
merumuskan beg plastik (mengandungi sampel) telah diusik yang telah 
menjejaskan integriti sampel dalam bekas itu. "Kami telah meneliti keterangan Jude Blacious Pereira, pegawai 
penyiasat kes ini, dan kami berpuas hati dengan keterangannya. Apa yang 
telah beliau lakukan ialah memotong bahagian bawah plastik dan 
meletakkan bekas itu dalam sampul surat. "Kami berpendapat bahawa perbuatan mengusik barang bukti adalah pada beg plastik dan bukannya pada sampel," kata Hakim Balia.
Mahkamah juga mendapati hakim perbicaraan telah terkhilaf dari segi 
undang-undang apabila menerima keterangan pakar asing pihak pembelaan 
yang disifatkan sebagai "bukan pakar sebenar". "Kami membenarkan rayuan dan mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi, 
responden (Anwar) didapati bersalah terhadap pertuduhan," katanya.
Hakim memberikan masa satu jam kepada kedua-dua pihak, Karpal Singh 
dan ketua pasukan pendakwa Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, untuk 
proses mitigasi sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman ke atas Anwar. Karpal Singh memberitahu mahkamah beliau memerlukan seminggu untuk 
menyediakan mitigasi kerana beliau dan Anwar perlu menghadiri sidang 
Dewan Rakyat Isnin depan.
Muhammad Shafee membantah permohonan Karpal Singh dan menggesa 
mahkamah mengadakan proses mitigasi hari ini dan berkata beliau juga 
tidak sempat membuat persediaan, tetapi bersedia untuk berbuat demikian 
hari ini. Pada ketika itu, Anwar mencelah dengan berkata "Tak payah, saya nak 
sekarang, sekarang boleh juga" dan disambut laungan "Allahuakhbar" oleh 
penyokongnya dalam mahkamah.
Pada saat itu, isterinya Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail bingkas 
bangun dari kerusi dan meluru ke arah Anwar untuk menenangkannya. Apabila mahkamah bersidang semula pada 6.15 petang, Karpal Singh 
memaklumkan mahkamah bahawa beliau diarahkan oleh Anwar untuk 
menyerahkan laporan perubatan anak guamnya itu sebelum beliau boleh 
membentangkan hujahan mitigasi.
"Anwar menghidap sakit belakang, tekanan darah tinggi dan masalah 
jantung. Mahkamah tidak patut tergesa-gesa dan kami berdoa kami akan 
diberikan masa untuk mengemukakan hujahan mitigasi," katanya. Hakim Balia menolak permintaan Karpal Singh dengan menyatakan 
mahkamah telah memberikan masa dan hak untuk pihak pembelaan 
mengemukakan hujahan mitigasi.
Semasa ditanya Karpal Singh sama ada mahkamah berpandangan laporan 
perubatan tidak perlu untuk hujahan mitigasi, Hakim Balia menjawab: "Ya,
 ia tidak perlu pada peringkat ini", yang membuatkan penyokong Anwar 
menjerit dan membuat bising dalam mahkamah. Hakim Balia: Jadi anda tidak akan membentangkan hujahan mitigasi? Karpal Singh: Saya tidak dapat membentangkan hujahan mitigasi tanpa laporan perubatan Anwar.
Dalam hujahannya bagi hukuman, Muhammad Shafee berkata dengan melihat
 kepada fakta kes, mahkamah patut menimbangkan kesalahan gangguan 
seksual di tempat kerja kerana pengadu bekerja dengan tertuduh pada 
ketika itu. Beliau meminta mahkamah menimbangkan perbuatan Anwar itu sebagai 
tidak bertanggungjawab dan cuai tanpa mempedulikan isu penyakit.
Beliau juga berkata Anwar telah menggelar pengadu sebagai "seorang penipu" semasa memberikan keterangan dari kandang tertuduh. "Tiada kondom digunakan, perbuatan itu cuai dan sebagai seorang majikan, beliau berada dalam kedudukan dominan," katanya. Muhammad Shafee juga berkata Anwar juga pernah disabitkan sebelum ini dan dihukum penjara enam tahun bagi rasuah.
Semasa menyampaikan keputusan itu, Hakim Balia berkata:"Mahkamah ini 
mendapati anda bersalah dan dengan itu mensabitkan anda dengan 
pertuduhan meliwat. Kami memutuskan anda dihukum penjara lima tahun." Selepas hakim membacakan keputusan itu, Dr Wan Azizah dan lima anak 
perempuan Anwar termasuk Nurul Izzah yang merupakan anggota Parlimen 
Lembah Pantai, mengalirkan air mata.
Semasa hakim menyampaikan penghakiman, penyokong Anwar turut membuat 
bising dan menjerit dalam mahkamah sehingga mendorong Hakim Balia 
memberi amaran kepada mereka supaya diam dan menegaskan sekiranya 
mahkamah mendengar bunyi bising lagi, beliau akan mengarahkan polis 
mengiringi mereka keluar dari mahkamah. "Tolong hormati mahkamah. Tolong jangan buat ulasan," kata Hakim 
Balia, dan dijawab oleh beberapa penyokong, "Anda (mahkamah) tidak 
berhak dihormati".
Selepas prosiding mahkamah berakhir, kesemua anak perempuan Anwar dan
 empat cucunya mendekatinya semasa beliau sedang berbincang dengan 
Karpal Singh.
Anwar turut dilihat mendukung seorang daripada cucunya semasa berbincang dengan barisan peguam belanya. mstar
--  Syamsul Demam Denggi Dalam Keadaaan Tidak Konsisten, Mungkin Tunda Nikah Puteri Sarah
--  Hanez Suraya Tak Takut Balasan Isu Rampas Suami Orang (Gambar)
--  Ammar Dipukul Bapanya - Nicolai Mikkelsen Di Sweden (Gambar)
--  Polis Dihukum Buat Seks Oral Pelajar Tingkatan Tiga (Gambar)  

No comments:
Post a Comment