ad ld

Showing posts with label Saman. Show all posts
Showing posts with label Saman. Show all posts

Friday, July 16, 2010

Bapa Saman 3 Anak RM2Juta

SHAH ALAM: Seorang bapa melahirkan kekesalan terhadap perbuatan tiga daripada lima anak kandungnya sebagai tidak wajar kerana memaksanya menandatangani pada surat pembahagian harta pusaka, selepas didakwa mengurungnya dalam rumah, tiga tahun lalu.

"Tindakan ketiga-tiga anak saya itu tidak kena pada tempatnya. Saya masih hidup, mereka paksa saya tandatangan kerana mahu rampas harta saya,” kata Baharom Long dengan linangan air mata ketika ditemui di luar Mahkamah Tinggi Sivil di sini, semalam.

Terdahulu, dia yang menyambut hari jadi ke-85 semalam, memfailkan saman tuntutan ganti rugi berjumlah lebih RM2 juta terhadap tiga anaknya yang didakwa mengurung dan memaksanya menurunkan tandatangan pada satu surat berhubung pembahagian harta pusaka, pada 2007. Baharom, bekas pesara Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memfailkan saman itu menerusi peguam Muhd Azmi Talib & Co.

Dia menamakan anak sulungnya, Md Hanafiah, 55, pesara tentera sebagai defendan pertama, manakala Zakariah, 52, dan Musa, 50, kedua-duanya bekerja di bahagian kargo syarikat penerbangan, masing-masing sebagai defendan kedua dan ketiga. Baharom mempunyai dua lagi anak, Roslan, 48, dan Azizan, 44. Dalam penyataan tuntutannya, Baharom mendakwa, defendan kedua berjumpanya di Masjid Selayang di pinggir Kuala Lumpur, sekitar November 2007 dan membawanya ke rumah defendan pertama sebelum mengunci pintu dan tingkap kediaman itu.

Di situ, Baharom mendakwa dipaksa menandatangani surat yang tidak diketahui isi kandungannya sekiranya mahu berkahwin kali kedua. Menerusi salinan surat yang diterimanya kemudian, plaintif mendapat tahu ia surat akuan bersumpah berhubung pembahagian dua lot tanah di Selayang Baru dan Kampung Nakhoda di Batu Caves, milik dia dan arwah isterinya.

Oleh itu, plaintif mendakwa semua defendan secara bersama atau berasingan menipu dan memanipulasi kedudukannya memaksa dia menandatangani surat akuan bertarikh 3 Disember 2007. Selain itu, dia mendakwa defendan secara agresif memaksanya menyerahkan geran kedua-dua tanah terbabit tanpa persetujuan atau kerelaannya.

Akibat tindakan defendan, plaintif mendakwa dia mengalami trauma serius sehingga sentiasa hidup dalam ketakutan terutama tinggal berseorangan di rumah. Dia mendakwa mengalami kemurungan teruk kerana bimbang kejadian sama berulang sehingga memaksanya mengambil ubat khas bagi mengawal masalah itu.

Selain itu, plaintif mendakwa perlu berulang-alik ke hospital bagi menjalani rawatan psikologi akibat trauma daripada peristiwa berkenaan. - hmetro

Wednesday, July 14, 2010

17 Individu Dituduh Amal Ajaran Sesat Saman Pengarah JAIP

IPOH - Sebanyak 17 individu termasuk dua wanita hari ini menfailkan saman pemula terhadap pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) serta tiga yang lain bagi menuntut ganti rugi akibat ditahan secara tidak sah gara-gara dituduh mengamalkan ajaran sesat.

Writ saman itu difailkan melalui Tetuan Zuri & Co pada 10.30 pagi di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi, di sini, oleh peguam Rizalman Bahran dan defendan diminta mengemukakan maklum balas dalam tempoh 12 hari daripada tarikh ia difailkan. Kesemua plaintif yang berusia antara 17 dan 70 tahun itu turut menamakan Ketua Pendakwa Syarie Perak Shahrunnazri Abdul Samad, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah Perak Mohd Kamal Mohammad Noor dan kerajaan negeri Perak sebagai defendan.

Kesemua plaintif mendakwa penahanan mereka oleh JAIP selepas disyaki terlibat mengamalkan ajaran sesat dan kemudian dibebaskan adalah salah dan tidak mengikut undang-undang. Mereka menuntut ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk dengan jumlah yang difikirkan adil dan saksama oleh mahkamah.

Dalam afidavit mereka, plaintif kelima Mohamad Radzi Kassim mendakwa pada 16 Nov 2008, kira-kira 10 malam ketika mereka sedang mengadakan kenduri doa selamat di sebuah rumah di Kampung Manjoi di sini bagi meraikan seorang daripada plaintif yang akan pulang ke Indonesia keesokan harinya (17 Nov 2008), para plaintif dan tetamu dikejutkan dengan diserbu oleh sekumpulan pegawai
penguatkuasa yang masuk ke rumah tersebut dengan tiba-tiba dan dengan tanpa menunjukkan waran.

Beliau mendakwa seorang yang dikenali sebagai Ustaz Zolkapli telah menyatakan kepadanya bahawa telah mendapat maklumat yang kesemua berkumpul di rumah berkenaan sedang melaksanakan dan mengamalkan satu ajaran sesat. Plaintif turut mendakwa serbuan tersebut disertai oleh lebih kurang 80 orang termasuk pegawai penguatkuasa agama, anggota polis dan pekerja Majlis Bandaraya Ipoh.

Dalam serbuan itu, 22 orang termasuk dua wanita ditahan. Bagaimanapun kesemua mereka dibebaskan kecuali empat individu kerana didakwa mengajar agama tanpa tauliah. Mohamad Radzi turut mendakwa pada 5 Okt 2009, kes terhadap keempat-empat plaintif tersebut kemudiannya ditarik balik dengan tanpa apa-apa sebab diberikan.

Akibat daripada tindakan defendan dan ejen-ejenya, Mohamad Radzi mendakwa beliau dan plaintif yang lain mengalami kerugian dan kerosakan kerana telah ditahan tanpa kerelaan dan tanpa menurut lunas undang-undang. Katanya, beliau terpaksa menutup perniagaan kerana mengalami tekanan dan tidak ada orang yang hendak makan di kedainya kerana dikatakan mengamalkan ajaran sesat. - sinarharian