ad ld

Showing posts with label Mahkamah. Show all posts
Showing posts with label Mahkamah. Show all posts

Sunday, July 18, 2010

Tidak Sempat Jual Dua Budak

KUCHING - Polis Sarawak berjaya menyelamatkan dua lagi kanak-kanak berusia 3 dan 4 tahun serta menahan dua adik-beradik perempuan warga Indonesia bagi membantu siasatan kes penjualan bayi di sini.

Dalam satu serbuan di sebuah rumah di Batu Kawa dekat sini pada pukul 5.30 petang kelmarin, polis menemui seorang kanak-kanak lelaki berumur empat tahun dan kanak-kanak perempuan berumur tiga tahun dipercayai diseludup masuk dari negara jiran untuk dijual di sini.

Selain itu, 2 beradik perempuan warga Indonesia berusia 22 dan 19 tahun yg ditahan itu dipercayai penjaga kpd dua kanak-kanak tersebut.

Majistret Mahkamah Kuching, Iris Awen Jon memerintahkan dua beradik tersebut ditahan reman selama enam hari bermula semalam. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Senior Asisten Komisioner Huzir Mohamad berkata, sehingga semalam, polis telah menahan reman 14 suspek termasuk pasangan bergelar Datuk dan Datin yang berusia 65 dan 43 tahun.
Katanya, polis berjaya menyelamatkan tiga bayi dan lima kanak-kanak yang berusia antara satu bulan hingga 12 tahun yang kini diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). - kosmo

Wednesday, July 14, 2010

17 Individu Dituduh Amal Ajaran Sesat Saman Pengarah JAIP

IPOH - Sebanyak 17 individu termasuk dua wanita hari ini menfailkan saman pemula terhadap pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) serta tiga yang lain bagi menuntut ganti rugi akibat ditahan secara tidak sah gara-gara dituduh mengamalkan ajaran sesat.

Writ saman itu difailkan melalui Tetuan Zuri & Co pada 10.30 pagi di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi, di sini, oleh peguam Rizalman Bahran dan defendan diminta mengemukakan maklum balas dalam tempoh 12 hari daripada tarikh ia difailkan. Kesemua plaintif yang berusia antara 17 dan 70 tahun itu turut menamakan Ketua Pendakwa Syarie Perak Shahrunnazri Abdul Samad, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah Perak Mohd Kamal Mohammad Noor dan kerajaan negeri Perak sebagai defendan.

Kesemua plaintif mendakwa penahanan mereka oleh JAIP selepas disyaki terlibat mengamalkan ajaran sesat dan kemudian dibebaskan adalah salah dan tidak mengikut undang-undang. Mereka menuntut ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk dengan jumlah yang difikirkan adil dan saksama oleh mahkamah.

Dalam afidavit mereka, plaintif kelima Mohamad Radzi Kassim mendakwa pada 16 Nov 2008, kira-kira 10 malam ketika mereka sedang mengadakan kenduri doa selamat di sebuah rumah di Kampung Manjoi di sini bagi meraikan seorang daripada plaintif yang akan pulang ke Indonesia keesokan harinya (17 Nov 2008), para plaintif dan tetamu dikejutkan dengan diserbu oleh sekumpulan pegawai
penguatkuasa yang masuk ke rumah tersebut dengan tiba-tiba dan dengan tanpa menunjukkan waran.

Beliau mendakwa seorang yang dikenali sebagai Ustaz Zolkapli telah menyatakan kepadanya bahawa telah mendapat maklumat yang kesemua berkumpul di rumah berkenaan sedang melaksanakan dan mengamalkan satu ajaran sesat. Plaintif turut mendakwa serbuan tersebut disertai oleh lebih kurang 80 orang termasuk pegawai penguatkuasa agama, anggota polis dan pekerja Majlis Bandaraya Ipoh.

Dalam serbuan itu, 22 orang termasuk dua wanita ditahan. Bagaimanapun kesemua mereka dibebaskan kecuali empat individu kerana didakwa mengajar agama tanpa tauliah. Mohamad Radzi turut mendakwa pada 5 Okt 2009, kes terhadap keempat-empat plaintif tersebut kemudiannya ditarik balik dengan tanpa apa-apa sebab diberikan.

Akibat daripada tindakan defendan dan ejen-ejenya, Mohamad Radzi mendakwa beliau dan plaintif yang lain mengalami kerugian dan kerosakan kerana telah ditahan tanpa kerelaan dan tanpa menurut lunas undang-undang. Katanya, beliau terpaksa menutup perniagaan kerana mengalami tekanan dan tidak ada orang yang hendak makan di kedainya kerana dikatakan mengamalkan ajaran sesat. - sinarharian