ad ld

Tuesday, September 30, 2014

Mesin ATM Digodam Guna Kad Sim Lebih RM500 Ribu Lesap

Sejumlah RM530,600 wang tunai di dua buah mesin juruwang automatik (ATM) sebuah bank yang sama di Johor dan Selangor lesap apabila mesin ATM itu digodam semalam yang dipercayai menggunakan sim kad telefon dan teknologi canggih.


Kejadian penggodaman mesin ATM itu merupakan jenayah pertama berlaku di negara ini selepas jenayah mencuri wang melalui pengklonan kad ATM berlaku sejak 1997 sehingga 2002.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahya Ramli berkata, kejadian itu dipercayai dilakukan sindiket antarabangsa dari Amerika Latin yang melakukan pengeluaran beratus kali di kedua-dua mesin milik bank terbabit dalam tempoh sehari. Beliau berkata, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Jenayah Komputer 1997.

"Ini modus operandi pertama dilakukan seumpama ini. Suspek godam sistem tanpa perlu pecah mesin ATM untuk larikan wang," katanya. Dalam kejadian pertama pada 9.48 pagi, seorang pengurus bank terbabit di cawangan Batu Pahat, Johor, mendapati mesin ATM bank itu tidak berfungsi dan mendapati wang di dalam mesin itu hilang.

Menurut polis Johor, berdasarkan sistem maklumat pengeluaran wang tunai RM50 sepatutnya berjumlah 5,103 keping tetapi baki sebenar di dalam mesin itu adalah sebanyak 27 keping. "Mengesyaki sesuatu yang pelik pihak pengurus telah menghubungi polis dan hasil siasatan mendapati tiada kesan mesin tersebut diumpil," menurut sumber polis itu.

Katanya, rakaman kamera litar tertutup di ATM itu mendapati terdapat tiga suspek berbangsa Amerika Latin, berumur dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun, membuat pengeluaran berkenaan. Jumlah wang dikeluarkan mereka ialah RM265,000.

Beberapa jam kemudian pada hari yang sama, Yahya berkata modus operandi yang sama dilakukan di bank berkenaan di USJ Subang Jaya oleh dua suspek lelaki berbangsa Amerika Latin dengan membuat pengeluaran 137 kali secara bergilir-gilir pada 5.30 petang Sabtu.

Katanya, pihak pengurusan bank mengesyaki kehilangan wang itu ketika memeriksa wang ATM tersebut dan polis percaya sindiket berkenaan menggunakan kad sim telefon dan sistem teknologi tinggi untuk menggodam mesin ATM itu bagi mengeluarkan wang. Polis kini sedang berusaha mengesan suspek terbabit menerusi rakaman kamera litar tertutup bank terbabit. mstar

--  Proton Iriz Dan Perodua Myvi Jom Tengok Perbezaannya
--  Datuk Jamil Sulong Meninggal Dunia (Gambar)
--  Liyana Jasmay Bersalin Anak Perempuan 2.9kg Di Prince Court

No comments: