Individu berpendapatan bawah RM3,000 di kawasan bandar, layak mendapat
bantuan RM35 sehari menerusi program Baucar Kerja yang diselia oleh
Kementerian Sumber Manusia. Dilancarkan pada peringkat perintis pada April ini, ia akan menyaksikan
penglibatan seramai 100 peserta yang tergolong di bawah tahap miskin
bandar.
Timbalan Pengarah Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan Jabatan Tenaga Kerja
Semenanjung Malaysia (JobsMalaysia), Yusuff Harun berkata bantuan
tambahan tersebut dijangka dapat membantu golongan ini dalam menghadapi
peningkatan kos sara hidup.
"Namun, bantuan itu tidak akan diberikan sewenang-wenangnya. Mereka
harus mendapatkan pekerjaan sambilan bagi melayakkan mereka mendapat
bantuan tersebut," katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini. "Golongan itu hendaklah mencari kerja sambilan terlebih dahulu, dan kita akan menyumbang sebanyak RM35 sehari. "Jumlah tersebut boleh dituntut setiap hari atau pun pada setiap hujung
bulan, bergantung kepada keperluan individu tersebut," katanya.
Program Baucar Kerja menyasarkan golongan bekerja di kawasan bandar yang
berpendapatan kurang daripada RM3,000, dan individu yang tidak bekerja. Ia juga menyasarkan golongan terpinggir seperti bekas banduan, bekas
penagih dadah, warga emas, golongan kurang upaya, Orang Asli dan pelajar
keciciran. JobsMalaysia akan memastikan pemilihan peserta dilakukan secara teliti
berdasarkan kaedah pemilihan profil dan dirujuk dari pangkalan e-kasih.
e-kasih merupakan pangkalan data keluarga miskin yang diwujudkan di
peringkat nasional bagi membantu merancang, melaksana dan memantau
program kemiskinan. Individu yang layak akan dihubungi secara terus, kata Yusuff. Berdasarkan pangkalan data e-kasih terkini, golongan dalam kumpulan miskin dan miskin tegar kini mencecah 500,000 orang.
Menurut Yusuff, bagi individu yang terikat dengan kontrak pengambilan
pekerja yang tidak membenarkan mereka melakukan dua kerja pada masa yang
sama, JobsMalaysia akan memainkan peranan sebagai orang tengah untuk
berunding dengan majikan bagi membenarkan pekerja untuk melakukan kerja
sambilan. "Bagaimanapun ia tertakluk kepada akta-akta pekerjaan dan buruh yang berkaitan," katanya. bernama
-- Leuniey Natasha Bersalin Anak Perempuan 2.75Kg (Gambar)
-- Peluang Azizul Dan Shalwati Di Sweden Bebas Tipis (Gambar)
-- Juara Pencetus Ummah Hafiz Tetap Berdakwah Di Surau Dan Masjid
-- Wan Sakinah Dan Baby Bump Bersama Ashraf Muslim (Gambar)
No comments:
Post a Comment