PETALING JAYA 24 Nov. – Tindakan sebuah restoran vegetarian memaparkan logo halal di luar pintu masuk premis itu tanpa sijil yang sah mengundang padah apabila diserbu pihak berkuasa hari ini.
Lebih malang restoran yang diusahakan oleh pemilik bukan Islam itu dan terletak di Jalan 8/1E di sini, difahamkan sering dikunjungi orang Islam terutamanya untuk makan tengah hari.
Serbuan pukul 11 pagi itu dilakukan oleh Bahagian Hub Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri.
Penolong Pengawal Perihal Perdagangan PPDNKK negeri, Mohd Sukri Mohamad berkata, dalam serbuan itu, pihaknya telah memeriksa dapur dan bahan masakan yang digunakan restoran itu. Katanya, hasilnya mendapati bahan makanan digunakan mengandungi alkohol yang haram dari segi hukum syarak. Tambah beliau, pihaknya juga merampas dua produk makanan kerana mengandungi bahan makanan yang tidak halal.
“Pemilik premis mengakui mengetahui ia satu kesalahan namun tidak berbuat apa-apa malah terang-terangan menawarkan juadah kepada umat Islam. “Premis itu juga sepatutnya tidak boleh menggunakan logo halal memandangkan mereka tidak mempunyai sijil berkenaan yang diperakui oleh Jakim,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan operasi itu di sini hari ini.
Menurutnya, serbuan itu merupakan yang pertama terhadap premis menyediakan makanan berasaskan vegetarian di daerah tersebut. Katanya, ia dilakukan ekoran banyak aduan diterima daripada orang ramai yang meragui kandungan bahan masakan digunakan. “Selain itu, proses penyediaan makanan turut diragui kerana kebanyakan pekerjanya terdiri daripada orang bukan Islam dari Myanmar,” katanya
Sementara itu, Penolong Pengarah Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Bahagian Hub Halal Jakim, Mohd Amri Abdullah meminta orang Islam berhati-hati memilih makanan di premis bukan Islam. “Jika merasa ragu-ragu dengan makanan yang disediakan oleh premis tertentu, mereka boleh menghubungi terus Jakim atau melayari laman web di www.halal.gov.my. “Selain itu semakan premis perniagaan juga boleh dilakukan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip halal-semak dan masukkan nama premis kemudian hantar ke 1588,” ujar beliau.
Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 15 (2) Akta Perihal Dagangan 1972 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM250,000 jika sabit kesalahan bagi kesalahan pertama dan RM500,000, kesalahan kedua. - utusan
1 comment:
ish.. melampau betul la kan.. tau nak untung aje..
Post a Comment