ARGOMULYO, Indonesia: Gunung Merapi pada Jumaat meragut 54 nyawa lagi menjadikan korban keseluruhan bencana alam itu meningkat kepada 100 orang sejak ia meletus pada 26 Oktober lalu.
Buat pertama kalinya juga, gunung paling aktif di dunia ini memuntahkan abu melepasi kawasan yang begitu besar sehingga ke Yogyakarta iaitu ibu negeri Jawa Tengah yang terletak 28 kilometer ke selatan gunung berkenaan.
Jurucakap Hospital Sarjito, Banu Hermawan, 54 mayat telahpun dibawa ke hospital itu oleh para penyelamat. Seorang sukarelawan, Utha memberitahu wartawan agensi berita AFP, dia menemui tiga mayat iaitu seorang kanak-kanak, ibu dan bapa kaku di atas katil mereka sekaligus mengambarkan betapa mereka sedang tidur ketika abu dan wap panas menghempas kediaman mereka.
Utha berkata dia sendiri telah membawa 10 mayat ke hospital berkenaan sambil menambah dia turut menemui seorang lelaki yang telah mati dengan telefon bimbit masih di tangannya.
Seorang pegawai pasukan medik polis Yogyakarta, Teguh Dwi Santosa memberitahu AFP: "Pekan Argomulyo bagaikan direbus dengan air panas. Ramai kanak-kanak ditemui mati di sini. Ketika saya tiba, buminya masih kepanasan."
Merapi telah memuntahkan debu, awan panas dan lahar daripada kawahnya yang setinggi 2,914-metre, sepanjang malam sehingga mencetuskan panik kepada penduduk pekan kecil ini yang cuba menyelamatkan diri dalam kegelapan malam. Sehingga kini jumlah penduduk sekitar Gunung Merapi yang telah dipindahkan mencecah 100,000 orang dengan 30,000 orang ditempatkan di sebuah stadium lebih kurang 25 kilometer dari gunung itu. Lapangan terbang antarabangsa Yogyakarta pula telah ditutup.
Pakar gunung berapi, Surono berkata, letusan pada Jumaat adalah yang terbesar setakat ini. "Letupannya boleh didengari sejauh 20 kilometer," ujarnya. Kini jarak kecemasan telah dilebarkan daripada 15 kilometer persegi kepada 20 kilometer persegi dan mana-mana penduduk yang tinggal dalam jarak tersebut dari Gunung Merapi diwajibkan meninggal kediaman masing-masing. - mstar
2 comments:
sadisnya...kesian.. :(
semoga negara kita dijauhkan Allah dari bala
MDT: Amin..
Post a Comment