ad ld

Sunday, January 9, 2011

(Gambar) Banjir Di Kelantan Bertambah Buruk, Terengganu Beransur Pulih

Nmpknya banjir makin buruk di Kelantan. Bilangan mangsa dipindahkan pn dh cecah ribu riban.. Klu zaman sekolah dlu2, compem dh join 'pesta' main air kt dlm bandar KB nih..huhu..

KUALA LUMPUR, 8 Jan -- Keadaan banjir di Kelantan Sabtu malam semakin buruk dengan jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat dan meragut satu nyawa, manakala di Terengganu keadaan beransur pulih.

Bandar Rantau Panjang kini lumpuh apabila semua premis perniagaan ditutup setelah ditenggelami air sedalam satu meter dan jumlah mereka yang dipindahkan sehingga pukul 8 malam ialah 2,777 orang.
Banjir yang melanda pantai timur itu, turut mengorbankan nyawa kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun, Siti Aisyah Kamarulzaman yang lemas ketika bermain air di kawasan rumahnya di Kampung Belukar Limbat, Peringat di sini.

Kanak-kanak itu dilapor lemas pada pukul 11.15 pagi dan mayatnya ditemui pada pukul 1.30 petang.

Sehingga kini 19 sekolah ditutup membabitkan 9,782 pelajar dengan Sekolah Kebangsaan (SK) Perol mulai ditutup esok manakala 16 Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Kemas di Rantau Panjang juga ditutup Ahad.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan berkata sehingga kini 25 pusat pemindahan dibuka di enam daerah iaitu Bachok, Kota Baharu, Pasir Mas, Pasir Puteh, Tanah Merah dan Tumpat.

"Daerah Pasir Mas dan kawasan Rantau Panjang yang paling teruk terjejas," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata enam laluan masih ditutup kepada kenderaan ringan iaitu di Kilometer (KM) 3 Jalan Pengkalan Rakit (Pasir Mas), KM9 Jalan Pohon Tanjung-Rantau Panjang (Pasir Mas), Jalan Pohon Tanjung-Meranti (Pasir Mas), KM3 Jalan Tendong-Bunut Susu-Gelang Mas (Pasir Mas), KM10 Jalan Rantau Panjang-Panglima Bayu (Pasir Mas) dan KM9 Jalan Cabang 4/Kampung Jambu/Meranti (Tumpat).

Jurucakap itu berkata Sungai Golok kini melebihi paras bahaya dengan 10.32 meter (bahaya 9 meter) manakala sungai utama lain di Kelantan berada pada paras berjaga-jaga.

Di KUALA TERENGGANU, keadaan banjir di daerah Marang dan Hulu Terengganu pulih sepenuhnya dan semua pusat pemindahan di Hulu Terengganu ditutup pada pukul 3 petang manakala di Marang ditutup sejam selepas itu.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri berkata keadaan banjir di Besut, Kemaman dan Setiu tidak berubah dengan 121 mangsa banjir masih ditempatkan di pusat pemindahan di Besut, 102 orang di Setiu, 24 di Kemaman dan tujuh orang di Dungun. bernama

No comments: