Pilihan raya kampus di Universiti Malaya (UM) memperlihatkan wajah buruknya pada Khamis apabila kumpulan Promahasiswa bertindak kasar dengan menyerbu dan memecah masuk ke Kompleks Perdanasiswa.
Insiden tersebut berlaku pada tengah hari selepas kumpulan berkenaan dilarang menemui Prof Datuk Dr Rohana Yusof, iaitu Timbalan Naib Canselor UM (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) oleh pengawal keselamatan universiti.
Selepas berlakunya perbalahan dan peristiwa menjerit-jerit, pergelutan pun terjadi di antara kumpulan berkenaan dengan kakitangan dan pengawal keselamatan universiti apabila mereka cuba meloloskan diri ke dalam kompleks tersebut.
Kumpulan Promahasiswa itu yang berjumlah sekitar 100 lebih orang pelajar tidak dapat menahan kesabaran dan rasa marah mereka ketika sedang menanti keputusan pihak pentadbiran ke atas nasib tujuh calon mereka yang digugurkan kelayakan bertanding.
Sejurus sebelum kejadian jelik itu, pihak pentadbiran universiti bersetuju untuk bertemu dengan wakil kumpulan berkenaan tetapi syor tersebut telah ditolak sebaliknya mereka mendesak agar Rohana turun bertemu dengan mereka.
Ketika berita ini ditulis, empat daripada tujuh calon yang tidak dibenarkan bertanding pada peringkat awal – tiga daripadanya adalah wakil Promahasiswa dan seorang wakil bebas - telah diberikan kebenaran untuk bertanding semula. Bagaimanapun nasib tiga lagi masih belum diketahui.
Mereka yang digugurkan kelayakan bertanding adalah disebabkan antara lain gagal menghadirkan diri pada taklimat wajib pra-pilihan raya dan juga kerana kegagalan mengemukakan borang pencalonan mengikut tarikh yang ditetapkan.
Sementara itu Pemimpin Penggerak Mahasiswa UM, Mohd Asri Zulkifli, 22, menyifatkan kejadian tengah hari itu sebagai memalukan malah mereka patut menerima tawaran pihak universiti untuk bertemu dengan wakil mereka.
“Tak perlulah nak menunjukkan kekuatan dengan memecah pintu kompleks berkenaan kerana sebagai pelajar universiti kita yang patut menunjukkan teladan yang baik bukan memperlihatkan budaya merusuh seperti itu," katanya. mstar
No comments:
Post a Comment