Kuala Terengganu - Seorang hakim Mahkamah Rendah Syariah di sini, hari ini, menasihati seorang pengurus operasi sebuah syarikat cari minyak swasta yang menghadapi tuntutan nafkah penjagaan dua anaknya supaya mengambil kesempatan Hari Raya nanti untuk menemui ayahnya bagi menyelesaikan masalah itu.
Hakim Kamarul Azmi Ismail memberitahu Nasrum Mustafa, 37, bahawa bapanya cukup teringin untuk berjumpa dengannya setelah lebih tujuh tahun mereka tidak bertemu. Hakim menasihatkan demikian setelah pihak defendan menyatakan persetujuan untuk menyelesaikan kes tuntutan di luar mahkamah. Sebelum itu, mahkamah diberitahu oleh peguam defendan Abdullah Muhamad bahawa anak guamnya tidak dapat menghadiri prosiding sebutan semula kes itu pada hari ini kerana mempunyai tugasan di Johor Baharu.
"Anak guam saya juga bersetuju untuk menyelesaikan kes tuntutan ini di luar mahkamah dan beliau difahamkan sedang membuat permohonon pinjaman semula perumahannya bagi membayar tuntutan pihak plaintif," katanya. Setelah ditanya hakim, bapa Nasrum, Mustafa Ismail, 54, berkata, anaknya itu tidak pernah menghubunginya atau kedua-dua anaknya, seorang perempuan berusia 13 tahun dan seorang lelaki, 15 tahun, selepas kes itu mula disebut pada pertengahan Julai lepas.
"Mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk memerintahkan dia untuk pulang berjumpa dengan ayahnya kerana ia terpulang kepada dirinya sendiri. "Walau apa jua masalah dan alasan sekalipun kembalilah kepada hukum," katanya. Hakim Kamarul Azmi turut memetik riwayat Al Hakim yanng menyebut semua dosa yang dilakukan ditangguhkan melainkan dosa kepada kedua orang tua yang mana Allah akan segerakan hukumannya di dunia lagi.
"Paling ditakuti apabila Allah menghukum dengan menutup pintu hatinya, dan iman tidak dapat masuk dan dengan itu semua yang dilakukannya difikirkan betul. "Hukuman mahkamah boleh selesaikan pertikaian, tetapi tidak boleh selesaikan apa yang terpendam di dalam hati. Jadi sebaiknya lakukanlah penyelesaian, baliklah berjumpa dengan ayah dan anak-anak," katanya. Mahkamah kemudian menetapkan 31 Okt depan sebagai tarikh sebutan semula kes itu dan meminta Nasrum untuk hadir.
Sementara itu, ketika ditemui di luar kamar mahkamah peguam plaintif Fazru Anuar Yusof berkata, anak guamnya tidak terlalu mengambil kira soal tuntutan tersebut sebaliknya mahukan anaknya itu pulang berjumpa dengannya serta dua anak yang ditinggalkan itu pada hari raya nanti. Pada 13 Julai lepas Mustafa menuntut anak lelakinya itu membayar nafkah penjagaan dua cucunya sebanyak RM20,000 sebagai tunggakan perbelanjaan penjagaan selama lebih tujuh tahun.
Selain itu, Mustafa juga menuntut anaknya yang berpendapatan hampir RM17,000 sebulan supaya memberi nafkah RM800 sebulan menerusi potongan gaji dan dimasukkan terus ke akaun cucunya untuk perbelanjaan penjagaan mereka.- sinarharian
1 comment:
kenang la jasa orang tua yng menjaga dan membesarkan kita selama ni..kan!
Post a Comment