ad ld

Saturday, June 19, 2010

JANGAN GUNA, BELI AMBERINE CAPSULE

KUALA LUMPUR 18 Jun - Orang ramai dinasihatkan tidak membeli dan menggunakan sejenis produk tradisional, Amberine capsule berikutan pengesanan racun berjadual metformin dan sibutramine dalam produk tersebut.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan, Eisah A. Rahman berkata, berikutan pengesanan dua jenis racun itu, pendaftaran produk tersebut yang digunakan secara tradisonal untuk kesihatan tubuh badan dibatalkan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah pada 27 Mei lalu.

"Ubat-ubatan yang mengandungi metformin dan sibutramine hanya boleh dibekal oleh doktor atau farmasi dengan kebenaran doktor kerana penggunaanya tanpa pengawasan dapat menyebabkan kesan sampingan serius.

"Ia seperti pengurangan paras gula dalam darah (hypoglycaemic), penurunan fungsi buah pinggang, tekanan darah tinggi dan kesan kardiovaskular yang lain.

"Produk ini (Amberine capsule) telah disahkan dicampur palsu dengan metformin dan sibutramine, oleh itu orang awam dinasihat menghentikan penggunaan produk ini," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Sementara itu, Eisah meminta peniaga yang masih menyimpan stok Amberine capsule supaya menghentikan penjualan dan pengedaran produk ini dengan serta-merta.

Tegasnya, penjualannya melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan jika didapati bersalah, individu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama.

"Bagi kesalahan-kesalahan berikutnya, individu terbabit boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan berikutnya," jelasnya.

-- Petikan: utusanonline.

No comments: