ad ld

Saturday, October 23, 2010

Wajib Lulus Sejarah Di Peringkat SPM Mulai 2013 - Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Kementerian Pelajaran memutuskan untuk menjadikan mata pelajaran Sejarah sebagai mata pelajaran wajib lulus di peringkat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun 2013.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata syarat wajib lulus itu sama seperti mata pelajaran Bahasa Malaysia sebagai syarat untuk mendapat SPM.

"Kita kena bagi masa sedikit kalau tidak dia (pelajar) terkejut... jadi ini memerlukan tempoh masa untuk kita melatih guru dan juga menyediakan pelajar-pelajar kita untuk menghadapi sistem baru ini," katanya yang juga Menteri Pelajaran ketika menggulung perbahasan di Perhimpunan Agung Umno 2010 di sini Sabtu.

Beliau berkata bermula tahun 2014, di bawah Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), mata pelajaran Sejarah akan dijadikan sebagai mata pelajaran teras di peringkat sekolah rendah.

"Seperti yang dibangkitkan oleh wakil Perak dan Kedah, di peringkat sekolah rendah, pada masa ini, elemen Sejarah diajar melalui mata pelajaran Kajian Tempatan."

Dalam hal ini, kementerian akan membuat penambahbaikan kandungan mata pelajaran Sejarah dengan memberi penekanan terhadap aspek-aspek berkaitan perlembagaan negara, dengan tujuan untuk membentuk kefahaman yang mendalam terhadap pembentukan negara bangsa yang kita cintai ini," katanya.

Beliau berkata pentaksiran berasaskan sekolah bagi Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang sebelum ini diumumkan mulai 2016, akan dipercepatkan ke tahun 2014.

"PMR tidak akan kita teruskan lagi tapi digantikan dengan sistem yang berasaskan sekolah dan ianya akan kita mulakan pada tahun 2014 iaitu dua tahun lebih awal daripada asalnya kerana ada tuntutan daripada tuan-tuan supaya disegerakan.

"UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah) pula akan dikekalkan tapi ditambah baikkan dengan cara-cara lebih sesuai mengikut perkembangan masa dan kehendak perkembangan ekonomi kita. Tetapi kita masih perlu ada tempoh masa untuk menyiapkan usaha-usaha untuk melatih semula guru-guru dan sebagainya," katanya.

Muhyiddin berkata kementerian itu juga akan menyalurkan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi membiayai aktiviti-aktiviti Yayasan Guru Malaysia Berhad, yang ditubuhkan untuk kebajikan guru-guru.

"Tadi ada wakil daripada Sabah yang telah membangkitkan yayasan ini yang dikatakan tidak memberikan apa-apa insentif ataupun dividen (kepada kaum guru), saya telahpun mengemukakan perkara ini kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) sebentar tadi supaya satu suntikan dana dapat diberikan dan saya nak ucapkan terima kasih kepada beliau yang setuju supaya peruntukan sebanyak RM10 juta diberikan kepada yayasan ini," katanya.

Selain itu, beliau berkata Yayasan Guru Tun Hussein Onn, satu lagi yayasan yang ditubuhkan untuk menjaga kebajikan guru telah diluluskan oleh Kabinet.

Rang undang-undang mengenainya akan kita bawa seberapa segera ke Parlimen supaya yayasan ini dapat mula beroperasi pada awal tahun depan. Sejumlah wang RM200 juta juga akan digunakan sebagai tabung atau dana untuk yayasan ini," katanya.

Muhyiddin berkata kementerian itu juga akan melaksanakan KSSR yang memberi penekanan kepada pendekatan pembelajaran amali, keupayaan berbahasa, pembelajaran berasaskan projek dan pelbagai lagi jenis pembelajaran yang menyeronokkan mulai 2011.

"KSSR dari Tahun Satu adalah penambahbaikan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dan ini akan diikuti dengan Tahun Dua dan seterusnya sehingga lengkap satu pusingan pada tahun 2016," katanya.

Beliau berkata kementerian berhasrat untuk meningkatkan peratusan pelajar yang mengambil pendidikan teknik dan vokasional kepada 20 peratus (81,000 murid) menjelang 2015 berbanding 10 peratus (40,706 murid) pada masa ini.

"Peruntukan pembangunan (dalam bidang ini) dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) ialah sebanyak RM340 juta, ini pastinya tidak mencukupi, pastinya kita harap dalam tempoh pusingan belanjawan yang akan dibentangkan nanti di dalam Parlimen jumlah peruntukan ini akan ditambah lagi pada masa akan datang.

"Ada empat sekolah vokasional baru yang akan kita bangunkan dalam RMK-10 dan dua lagi sekolah menengah vokasional untuk golongan murid kurang upaya pendengaran, penglihatan dan masalah pembelajaran akan dibina.

"Selain itu, kita akan meningkatkan kompetensi guru vokasional dan kemahiran sedia ada secara berterusan, seramai 4,764 guru akan dilatih dan ditauliahkan kemahiran sekurang-kurangnya mencapai minimum kemahiran Tahap 3 Sijil Kemahiran Malaysia mulai tahun 2011," katanya. - Bernama

No comments: