Saturday, July 24, 2010

Gegaran Gempa Sumatera Dirasai Di Pantai Barat Semenanjung

Gempa bumi berukuran 6.1 pada skala Richter berlaku di utara Sumatera, Indonesia pagi ini dan gegarannya turut dirasai di kawasan pantai barat Semenanjung.

Bagaimanapun, tiada amaran tsunami dikeluarkan berikutan kejadian itu.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, gempa bumi itu berlaku 10.11 pagi, berpusat di 40 kilometer (km) tenggara Padang Sidempuan, Indonesia, dan 307 km tenggara Klang, Selangor.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba Wilayah Persekutuan, Azizan Ismail, berkata pihaknya menerima beberapa panggilan daripada pengurus bangunan di sekitar ibu negara yang memaklumkan berlakunya gegaran kecil.

"Antaranya bangunan yang menempatkan bank, hotel dan beberapa pangsapuri. Turut merasai gegaran kecil ialah ibu pejabat bomba Kuala Lumpur di Jalan Maharajalela," katanya sambil menambah pihak pengurusan bangunan dinasihatkan membuat pemeriksaan sendiri.

Azizan berkata, beliau dimaklumkan pengurus bangunan juga tidak meminta penghuni untuk mengosongkan bangunan. "Pihak bomba akan memantau perkembangan tersebut melalui maklumat terkini Jabatan Meteorologi," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

TQ!!! PLEASE COME AGAIN!!!!