ad ld

Tuesday, July 20, 2010

CCTV Rakam Penunggang Motosikal Maut Dilanggar Lori Di Lekas

KUALA LUMPUR 19 Julai – Polis meminta orang ramai supaya tampil membantu siasatan kes kemalangan maut membabitkan seorang penunggang motosikal di Kilometer 11.5 Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas), arah selatan, dekat sini Jumaat lalu. Kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu berlaku berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Beranang, apabila motosikal mangsa, G. Balan, 37, dirempuh dari belakang oleh kenderaan terbabit.

GAMBAR kiri dari rakaman CCTV menunjukkan sebuah lori pick-up dan beberapa buah motosikal melalui lebuh raya di Kilometer 11.5 Lebuhraya Kajang - Seremban (Lekas) arah Selatan, kira-kira pukul 8 pagi Jumaat lalu.

Balan kemudian diseret sejauh beberapa meter mengakibatkan mangsa yang berasal dari Port Dickson, Negeri Sembilan, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah. Pemandu lori itu bagaimanapun tidak berhenti dan melarikan diri setelah menyedari kejadian tersebut.

Gambar memaparkan penunggang motosikal yang berada di belakang jatuh dipercayai dilanggar oleh lori tersebut yang berlalu pergi. Penunggang motosikal itu maut.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor, Supritendan Che Husin Omar ketika dihubungi hari ini berkata, sehingga kini, pemandu lori terbabit masih tidak membuat sebarang laporan. Beliau berkata, ketiadaan laporan pemandu lori dan saksi yang tampil menyalurkan maklumat menyukarkan siasatan kes berkenaan. Katanya, siasatan kes tersebut dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai sehingga menyebabkan kematian. - utusan

Monday, July 19, 2010

Aidilfitri dan Hari Kebangsaan Tahun Depan Serentak

KUALA LUMPUR 19 Julai – Kalau tahun ini sambutan Hari Kebangsaan diadakan pada bulan puasa, tetapi pada tahun depan, sambutan Hari Kemerdekaan negara itu akan diadakan serentak dengan Hari Raya Aidilfitri. Menurut Jadual Hari Kelepasan Am Persekutuan 2011 yang dikeluarkan Bahagian Kabinet, Perlembagaan dan Perhubungan Antara Kerajaan Jabatan Perdana Menteri (JPM), tarikh 31 Ogos juga merupakan hari kedua sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Empat cuti umum tahun depan jatuh pada hari Ahad iaitu Hari Pekerja (1 Mei), Hari Raya Aidiladha (6 November), Maal Hijrah (27 November) dan Hari Krismas (25 Disember). Cuti umum bagi Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong pula ialah pada hari Sabtu, 4 Jun.

Bagaimanapun tarikh sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha itu tertakluk kepada perubahan.
Sebanyak 15 hari Kelepasan Am Persekutuan telah ditetapkan bagi tahun depan termasuk masing-masing dua hari bagi sambutan Tahun Baru Cina pada 3 dan 4 Februari dan Hari Raya Aidilfitri pada 30 dan 31 Ogos. Selain itu sambutan Tahun Baru 1 Januari juga pada hari Sabtu dan merupakan cuti umum kecuali di Johor, Kedah, Kelantan, Perlis dan Terengganu. – Bernama