Sultan Muhammad V letak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15.
Peletakan jawatan yang berkuatkuasa pada Ahad itu disahkan menerusi kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara.
"Bagi menjunjung titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V, dengan ini Istana Negara memaklumkan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong XV berkuatkuasa 6 Januari 2019. "Baginda telah memaklumkan mengenai perkara ini secara rasmi kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja melalui warkah yang telah diutuskan kepada Setiausaha Majlis Raja-Raja," menurut kenyataan itu.
Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab. Aziz pada Ahad. Tambah kenyataan itu, Sultan Muhammad V turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja yang memilih baginda sebagai YDP Agong ke-15 pada 13 Disember 2016.
Tidak terkecuali, Sultan Muhammad V turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan pihak kerajaan kerana memberikan kerjasama dalam pentadbiran negara. "Selaku pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera, baginda amat berbangga dengan pengorbanan serta taat setia yang telah dicurahkan kepada baginda dan negara selama ini," ujar kenyataan tersebut.
Sepanjang tempoh berkhidmat sebagai YDP Agong, Sultan Muhammad berusaha memenuhi tanggungjawab dan amanah selaku Ketua Negara. Antara peranan yang dilaksanakan baginda adalah menjadi tonggak kestabilan, sumber keadilan, teras perpaduan dan payung penyatuan rakyat.
Baginda turut bertitah agar semua rakyat Malaysia mengekalkan perpaduan, bertolak ansur dan bersepakat dalam memikul tanggungjawab terhadap negara ini supaya keharmonian dapat diteruskan. Sultan Muhammad juga bersedia berangkat pulang ke Kelantan untuk bersama-sama dengan Kerajaan Negeri dan rakyat negeri tersebut bagi menjaga dan membangunkannya demi kesejahteraan rakyat.
Kronologi Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke 15 :
14 Okt 2016: Sultan Muhammad V dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 bagi tempoh lima tahun pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-243 (Khas), menggantikan Sultan Kedah, Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.
13 Dis 2016: Sultan Muhammad V melafaz sumpah memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-15 manakala Sultan Perak Sultan, Nazrin Shah pula mengangkat sumpah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
31 Jan 2017: Berkenan menerima Darjah Yang Maha Utama Kerabat Diraja Malaysia (D.K.M) daripada kerajaan Malaysia.
24 April 2017: Sultan Muhammad V ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 dalam satu istiadat penuh dengan tradisi Kesultanan Melayu di Istana Negara.
24 April 2017: Berkenan berangkat ke Majlis Santapan Diraja untuk kali pertama sempena pertabalan baginda.
3 Nov 2017: Berkenan menerima menghadap Putera Charles dan isteri baginda, Camella di Istana Negara.
10 Mei 2018: Berkenan menerima menghadap Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri ketujuh di Istana Negara selepas gabungan Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum ke-14.
16 Mei 2018: Memperkenan rayuan pengampunan penuh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu Ketua Umum PKR dan diberi pembebasan serta-merta. Anwar kini presiden parti itu.
18 Mei 2018: Berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Istana Negara untuk menyerahkan senarai nama Anggota Parlimen yang dilantik sebagai Menteri Persekutuan baharu.
2 Nov 2018: Sultan Muhammad V bercuti sehingga 31 Dis 2018 untuk menjalani rawatan dan sepanjang tempoh itu Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah selaku Timbalan Yang di-Pertuan Agong menjalankan tugas-tugas Yang di-Pertuan Agong.
4 Jan 2019: Sultan Muhammad V berkenan menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian, Kelantan.
6 Jan 2019: Sultan Muhammad V meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong XV berkuat kuasa pada Ahad. - mstar
No comments:
Post a Comment
TQ!!! PLEASE COME AGAIN!!!!