KOTA BHARU: ‘Papa dah mati... tak apa, nanti Danish jaga mama,’ itulah luahan Muhammad Danish Farhan Mohd Khairul Zaini, 4, anak tunggal seorang pegawai polis trafik yang maut dalam kemalangan ketika mengejar sekumpulan ‘mat rempit’ dalam kejadian di Jalan Taman Datuk Senu di sini, malam kelmarin. Reaksi kanak-kanak itu tidak mengejutkan kerana itulah pesanan sering disampaikan bapanya, Cif Inspektor Khairul Zaini Mohd Zain, 32. Allahyarham berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 10 tahun lalu.
Isteri mangsa, Harlina Abdul Hadi, 31, ketika ditemui di rumah keluarga suaminya di Kampung Panji, di sini, berkata Allahyarham sering berpesan kepada anak tunggal itu supaya sentiasa menjaga diri jika ditakdirkan beliau meninggal dunia. Kali terakhir kami bersama jam 9 malam semalam (kelmarin) sebelum Allahyarham keluar bertugas mengetuai satu operasi trafik. Dia juga sebelum itu sempat mencium Danish dan bersalam dengan saya sebelum meninggalkan rumah.
Namun tiga jam kemudian, bapa saudara datang ke rumah memberitahu suami sudah meninggal... perasaan saya ketika itu tak menentu dan sebak,” katanya sambil menambah Allahyarham tidak menunjukkan sebarang perubahan tingkah laku sebelum itu, cuma mengadu letih kerana sering bertugas malam, selain baru pulang dari Sabah, Isnin lalu.
Khairul Zaini daripada Pasukan Kuatkuasa Khas Unit Cegah Lumba Haram Trafik Kuala Lumpur, mati di tempat kejadian selepas motosikalnya berlanggar dengan sebuah kereta yang keluar dari simpang ketika mangsa mengejar sekumpulan ‘mat rempit’ yang merempuh sekatan polis di Jalan Taman Datuk Senu, pada jam 10.50 malam. Mangsa cedera parah di kepala dan badan, tetapi kumpulan samseng jalanan terbabit dapat melepaskan diri.
Jenazah Allahyarham dimandi dan disembahyangkan di Masjid Bukit Aman di Kuala Lumpur yang turut disertai Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar sebelum dibawa pulang ke kampung dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Panchor-Panji, selepas Asar. - bharian
Semoga ALLAH mencucuri rahmat keatas Rohnya.. Al-Fatihah
ReplyDelete