KOTA KINABALU 7 Sept: Seorang gadis berusia 14 tahun ditemui mati dengan sekurang-kurangnya lima kesan tikaman menggunakan tiga senjata tajam berbeza dalam kejadian pembunuhan kejam di Kampung Biah, Keningau, kelmarin. Selain kesan tikaman, terdapat satu kesan luka besar pada perut mangsa yang ditemui terbaring berlumuran darah di rumahnya dipercayai dirobek dengan senjata tajam oleh penyerangnya dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu.
Difahamkan, mangsa, Nassirah Jasto yang tidak bersekolah dan tinggal bersendirian di rumahnya ketika kejadian kerana ibunya keluar mengambil adiknya di sekolah kira-kira jam 12 tengah hari, manakala bapanya bekerja di sebuah kilang papan di Keningau. Bagaimanapun, sekembalinya ibu mangsa yang berusia 30-an ke rumah kira-kira setengah jam kemudian dia mendapati anak gadisnya itu terlentang di dapur dengan keadaan berlumuran darah. Wanita berkenaan kemudian berlari keluar rumah dalam keadaan panik untuk meminta tolong daripada jirannya supaya memaklumkan kejadian berkenaan kepada suaminya sebelum menghubungi polis.
Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Zahari Mohamad berkata, sebaik menerima laporan berhubung kejadian, sepasukan anggota polis dikejarkan ke rumah mangsa untuk siasatan lanjut. Katanya, sebaik tiba di lokasi, polis menemui remaja perempuan itu terlentang dengan satu kesan tikaman besar menggunakan senjata tajam dipercayai parang di perut mangsa, manakala beberapa kesan tikaman lain di badan dipercayai menggunakan gunting dan pisau. Mangsa ditemui lengkap memakai seluar serta kemeja dan sepasukan anggota unit forensik turut dikejarkan ke tempat kejadian bagi membantu siasatan,” katanya.
Zahari berkata, hasil siasatan awal pihaknya menemui beberapa senjata yang digunakan suspek iaitu sebilah parang, pisau dan gunting di tepi mayat mangsa. Selepas beberapa jam menjalankan siasatan, kami menahan seorang lelaki berusia 37 tahun pada kira-kira jam 5 petang pada hari sama dipercayai dapat membantu siasatan lanjut. Suspek yang juga jiran mangsa ditahan kira-kira 50 meter dari tempat kejadian dan polis sudah mendapat perintah reman untuk menahannya bagi membantu siasatan,” katanya.
Katanya, berdasarkan siasatan awal, polis menolak kemungkinan mangsa dirompak kerana keadaan rumahnya menunjukkan tiada kesan diusik dan semua dalam keadaan baik. Hasil siasatan awal juga pihak polis percayai pembunuhan itu bermotifkan dendam atau cemburu. Bagaimanapun kami masih menjalankan siasatan,” katanya.
Zahari berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi polis Keningau di talian 087-332222 bagi membantu siasatan. - hmetro
No comments:
Post a Comment
TQ!!! PLEASE COME AGAIN!!!!