Sunday, October 31, 2010

(Gambar) Lori Rempuh 3 Kereta Di Jln Raja Nazrin Shah, 1 Maut 6 Cedera

IPOH 30 Okt. – Seorang pemandu lori maut manakala enam lagi cedera apabila sebuah lori merempuh tiga buah kereta dalam kemalangan di Jalan Raja Nazrin Shah, Kampung Kepayang berdekatan Taman Seri Raia, Simpang Pulai, malam tadi.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Lai Fa, 63, beralamat di Persiaran Bercham Timur, di sini. Dia meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Dalam pada itu, hanya dua daripada enam mangsa yang cedera dikenal pasti iaitu Nur Azua Abd. Wahab, 23, dan adiknya Khairul Nizam, 19. Kesemua mereka dihantar ke hospital untuk menerima rawatan sebelum dibenarkan pulang.

Ketua Trafik daerah, Deputi Supritendan Mohd. Rodzi Rejab berkata, kejadian berlaku pukul 8.15 malam apabila lori ikan yang dipandu Lai Fa, hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan. Katanya, lori yang datang dari arah Gopeng menuju ke Ipoh itu merempuh tiga kenderaan di hadapannya. “Rempuhan itu menyebabkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), sebuah Proton Exora dan sebuah Proton Wira rosak dan remuk. “Lori tersebut pula terbabas ke tepi jalan dan mengakibatkan pemandunya tersepit dan cedera parah,” katanya.

Menurut beliau, sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat dari Simpang Pulai dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mangsa. Kemalangan itu menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas sepanjang kira-kira dua kilometer dari kedua-dua arah. - Utusan

No comments:

Post a Comment

TQ!!! PLEASE COME AGAIN!!!!