Unit Forensik Polis menemui beberapa lagi objek yang dipercayai bahan bukti kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi lelaki lain di Sungai Panchau. Polis yang memulakan operasi pada pukul 3.30 petang dilihat membawa beberapa objek termasuk satu bungkusan yang kelihatan seperti tulang di dalamnya.
Operasi itu berakhir pada pukul 5.30 petang. Selain itu, polis juga memasang kain kanvas di tempat mereka beroperasi dan tindakan itu menyukarkan pihak media untuk melihat dengan jelas apa yang mereka lakukan dan objek yang dibawa naik dari sungai itu.
Turut kelihatan berada di lokasi operasi ialah Pengarah Jabatan Forensik Polis Diraja Malaysia Datuk Abdul Malek Harun. Ahad lepas, unit forensik menemui beberapa cebisan tulang dari dalam sungai yang sama. Sosilawati, 47, bersama tiga individu iaitu pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilapor hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah. Polis mengesahkan kempat-empat mangsa dipukul sampai mati sebelum dibakar dan abu dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting. - Bernama
Teruk juga keje siasatan ni.. bahan bukti dibuang dalam sungai, yg bagusnya sungai tu cetek je.. jd penemuan barang tu tidak mustahil.
ReplyDelete