Sunday, July 11, 2010

PERHATIAN : Lubuk Yu Ditutup Serta - Merta

MARAN 10 Julai - Selepas enam maut dan 83 orang dijangkiti virus kencing tikus, sebuah pusat perkelahan terkenal, Hutan Lipur Lubuk Yu di sini diarahkan ditutup serta- merta bermula hari ini. Kesemua mereka yang dijangkiti bakteria meilioidosis dan leptospirosis itu dipercayai terlibat dalam usaha menyelamat seorang pemuda yang lemas di lubuk berkenaan pada 26 hingga 30 Jun lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, daripada jumlah tersebut seramai 56 orang adalah daripada pasukan penyelamat manakala 27 orang adalah sukarelawan.
 "Seramai 13 mangsa menunjukkan simptom dijangkiti kuman berkenaan sehingga menyebabkan berlakunya enam kematian. "Justeru, pusat perkelahan itu hendaklah ditutup serta-merta bermula hari ini dan orang ramai dilarang mengunjunginya sehingga dibenarkan berbuat demikian," katanya kepada pemberita di pusat perkelahan tersebut di Kuala Sentol di sini hari ini.

Hadir sama Exco Kerajaan Pahang, Datuk Tan Mohd. Aminuddin Ishak, Ahli Parlimen Maran Datuk Ismail Abdul Muttalib, ADUN Kuala Sentol Datuk Shahaniza Shamsuddin dan Pengarah Jabatan Kesihatan Pahang, Datuk Dr. Rosnah Ismail. Menurutnya, penyebaran bakteria itu disedari penduduk selepas enam kematian bermula 3 Julai dan terakhir pada Khamis lalu yang membabitkan penduduk tempatan yang berusia dalam lingkungan 29 hingga 60 tahun. "Penduduk mula bimbang apabila keenam-enam mangsa tersebut terlibat semasa membantu usaha mencari mangsa lemas di Lubuk Yu.
"Malah, ujian X-ray dan makmal menunjukkan lima kematian disebabkan bakteria meiliodosis dan satu kes kematian berpunca daripada kuman leptospirosis," jelasnya sambil memberitahu dua mangsa meninggal di rumah manakala empat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh.

Tambahnya, orang awam yang berisiko tinggi terutama penghidap diabetes atau mengalami luka dinasihatkan agar tidak mengunjungi kawasan terbabit. "Kawasan rekreasi yang berisiko seperti di Jengka, Jerantut dan Maran tidak perlu dikunjungi pada masa ini bagi mengelak jangkitan bakteria sama.
"Saya ingin jelaskan bahawa penularan penyakit ini bukannya berpunca daripada virus tetapi sejenis kuman daripada air kencing tikus dan kawasan tanah yang tercemar," jelasnya. - utusan

No comments:

Post a Comment

TQ!!! PLEASE COME AGAIN!!!!