Saturday, June 26, 2010

Gerhana Bulan Separa Malam Ini

KUALA LUMPUR - Masyarakat Islam digalakkan menunaikan solat sunat khusuf atau solat sunat gerhana bulan sempena dengan fenomena gerhana bulan separa malam ini.

Menurut Agensi Angkasa Negara (Angkasa), gerhana akan bermula dengan fasa penumbra pada pukul 4.57 petang ini dan mencapai tahap gerhana maksimum pada pukul 7.30 malam sebelum dijangka berakhir pada pukul 10.22 malam ini.

Penolong Pegawai Hal-Ehwal Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Noor Syarizal Mohd Nunar berkata solat gerhana boleh dilakukan selepas solat Maghrib secara berseorangan atau berjemaah.

Katanya orang ramai dijemput menunaikan solat khusuf disertai khutbah khas gerhana bulan di Masjid Negara dan Masjid Putrajaya.

Sementara itu, orang ramai berpeluang menyaksikan gerhana bulan separa itu di Planeterium Negara di sini antara pukul 7.38 malam hingga 10.20 malam ini.

Menurut laman web Angkasa, teleskop bagi melihat gerhana bulan itu akan disediakan secara percuma kepada orang ramai bermula 8 hingga 10 malam ini.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Planetarium Negara di talian 03-22734301/4303/5484 atau melayari laman web www.angkasa.gov.my/planetarium. - Bernama

2 comments:

TQ!!! PLEASE COME AGAIN!!!!