ad ld

Thursday, June 20, 2013

Pelajar Maahad Tahfiz Pulau Melaka Maut Dijangkiti Kencing Tikus

Seorang pelajar Maahad Tahfiz Darul Anuar, Pulau Melaka Kota Bharu Kelantan meninggal dunia pada Selasa akibat terkena jangkitan virus kencing tikus (Leptospirosis) selepas mengikuti perkhemahan pada bulan lepas di Bukit Bakar, Machang. Sheikh Mohd Alif Sheikh Mohd Fauzi, 17, dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, pada 30 Mei lalu berikutan demam yang dihidapinya selepas perkhemahan tersebut.

Ibu saudara mangsa, Nur Ilyana Che Mat, 33, berkata, Sheikh Mohd Alif mengikuti perkhemahan yang dianjurkan sekolahnya sebagai persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). "Anak saudara pergi ikut perkhemahan tersebut beberapa hari sebelum cuti pertengahan tahun baru-baru ini dan kemudiannya pulang ke rumahnya di Paka,Terengganu. "Mohd Alif kemudiannya kembali ke sekolah selepas tamat cuti sekolah tersebut, namun tidak mengikuti sesi riadah dan ulangkaji sehinggalah seorang guru yang membuat pemeriksaan di asrama menemui beliau berada dalam keadaan lemah," katanya.

Nur Ilyana berkata, guru tersebut kemudiannya membawa Mohd Alif ke HUSM Kubang Kerian untuk menerima rawatan dan pihak hospital mengesyaki beliau terkena demam denggi, namun pemeriksaan susulan mendapati terkena jangkitan virus kencing tikus. "Mohd Alif meninggal dunia kira-kira pukul 9 pagi semalam dan dikebumikan di kampung ibunya di Kampung Gong Pasir, Dungun, Terengganu pada hari sama," katanya.

Sementara itu, Pengarah HUSM Kubang Kerian, Datuk Dr Zaidon Kamari dalam satu khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama pada Rabu mengesahkan mengenai kematian pelajar tersebut akibat virus jangkitan kencing tikus. Beliau juga mengesahkan bahawa pesakit itu, sebelum ini, dimasukkan ke HUSM Kubang Kerian. bernama

-- Izwan Pilus Meninggal Dunia
-- (Gambar) Pelatih Polis Mati Dijangkiti Virus Kencing Tikus Dan Adeno
-- Wabak Kencing Tikus: 3 Kawasan Perkelahan Di Kedah Ditutup

No comments: