ad ld

Wednesday, July 14, 2010

17 Individu Dituduh Amal Ajaran Sesat Saman Pengarah JAIP

IPOH - Sebanyak 17 individu termasuk dua wanita hari ini menfailkan saman pemula terhadap pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) serta tiga yang lain bagi menuntut ganti rugi akibat ditahan secara tidak sah gara-gara dituduh mengamalkan ajaran sesat.

Writ saman itu difailkan melalui Tetuan Zuri & Co pada 10.30 pagi di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi, di sini, oleh peguam Rizalman Bahran dan defendan diminta mengemukakan maklum balas dalam tempoh 12 hari daripada tarikh ia difailkan. Kesemua plaintif yang berusia antara 17 dan 70 tahun itu turut menamakan Ketua Pendakwa Syarie Perak Shahrunnazri Abdul Samad, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah Perak Mohd Kamal Mohammad Noor dan kerajaan negeri Perak sebagai defendan.

Kesemua plaintif mendakwa penahanan mereka oleh JAIP selepas disyaki terlibat mengamalkan ajaran sesat dan kemudian dibebaskan adalah salah dan tidak mengikut undang-undang. Mereka menuntut ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk dengan jumlah yang difikirkan adil dan saksama oleh mahkamah.

Dalam afidavit mereka, plaintif kelima Mohamad Radzi Kassim mendakwa pada 16 Nov 2008, kira-kira 10 malam ketika mereka sedang mengadakan kenduri doa selamat di sebuah rumah di Kampung Manjoi di sini bagi meraikan seorang daripada plaintif yang akan pulang ke Indonesia keesokan harinya (17 Nov 2008), para plaintif dan tetamu dikejutkan dengan diserbu oleh sekumpulan pegawai
penguatkuasa yang masuk ke rumah tersebut dengan tiba-tiba dan dengan tanpa menunjukkan waran.

Beliau mendakwa seorang yang dikenali sebagai Ustaz Zolkapli telah menyatakan kepadanya bahawa telah mendapat maklumat yang kesemua berkumpul di rumah berkenaan sedang melaksanakan dan mengamalkan satu ajaran sesat. Plaintif turut mendakwa serbuan tersebut disertai oleh lebih kurang 80 orang termasuk pegawai penguatkuasa agama, anggota polis dan pekerja Majlis Bandaraya Ipoh.

Dalam serbuan itu, 22 orang termasuk dua wanita ditahan. Bagaimanapun kesemua mereka dibebaskan kecuali empat individu kerana didakwa mengajar agama tanpa tauliah. Mohamad Radzi turut mendakwa pada 5 Okt 2009, kes terhadap keempat-empat plaintif tersebut kemudiannya ditarik balik dengan tanpa apa-apa sebab diberikan.

Akibat daripada tindakan defendan dan ejen-ejenya, Mohamad Radzi mendakwa beliau dan plaintif yang lain mengalami kerugian dan kerosakan kerana telah ditahan tanpa kerelaan dan tanpa menurut lunas undang-undang. Katanya, beliau terpaksa menutup perniagaan kerana mengalami tekanan dan tidak ada orang yang hendak makan di kedainya kerana dikatakan mengamalkan ajaran sesat. - sinarharian

2 comments:

Ena said...

mcm2 kan skrg nie.. mrmm..

Mama Hanim said...

Ena: btul tu ena.. mcm2 hal kan..